BREAKING NEWS

Tuesday, 30 January 2018

Selesaikan Masalah Dalaman Parti Dahulu, Hadi Sindir Mahathir

Tun Dr. Mahathir Mohamad diingatkan supaya menyelesaikan terlebih dahulu masalah dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebelum menyindir hasrat Pas untuk bertanding di 130 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai angan-angan Mat Jenin.

Pada masa sama, Pre­siden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara sinis menyindir dan mempersoalkan keupayaan Dr. Mahathir untuk mentadbir negara berikutan soal pengagihan kerusi dalam PPBM sendiri masih belum selesai sehingga mencetuskan pergaduhan sesama sendiri.


Beliau berkata, Pas sentiasa re­a­lis­tik untuk bertanding di 130 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum kelak berdasarkan kepada kekuatan mereka yang mempu­nyai 195 kawasan di seluruh negara.

“Kita bertanding di atas dahan yang kukuh. Kita ada 195 kawasan, cawangan serta jentera yang kuat. Kami hanya bertan­ding 130 kerusi dan itu sasaran yang realistik dan berpijak di bumi yang nyata.

“PPBM pula biar mereka sendiri selesaikan masalah. Cuma apabila sebelum pilihan raya sudah bergaduh, bagaimana hendak membentuk kerajaan,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan majlis pecah tanah Kompleks Pendidikan Ibnu Aqil di Kampung Kubang Siput, Jalan Kodiang-Pauh di sini hari ini.

Yang turut hadir, Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin; Setiausaha Politik Presiden Pas, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli.

Semalam, sekumpulan ahli PPBM Negeri Sembilan membuat kecoh semasa Konvensyen Pakatan Harapan selepas tidak ber­puas hati apabila hanya diberikan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bertanding dalam PRU-14 di negeri itu.

Ahli-ahli PPBM tersebut dalam sidang akhbarnya selepas itu menjelaskan, mereka dengan tegas menolak penjelasan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang meminta mereka berkompromi dalam agihan kerusi yang akan ditandingi parti itu pada PRU-14.

Ketua Pemuda PPBM negeri, Mohd. Sharul Anuar Abu Samah dilaporkan berkata, parti itu ha­nya diberikan enam kerusi DUN yang dianggap berstatus ‘hitam’ iaitu sukar untuk mencapai kemenangan berdasarkan keputusan pilihan raya umum lalu.

Sebelum itu, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan diketuai DAP menyindir hasrat Pas untuk bertanding di 130 kerusi Parlimen dalam PRU-14 dengan menyifatkannya sebagai angan-angan Mat Jenin.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi berkata, beliau berharap isu peruntukan wakil rakyat Pas di Selangor dapat diselesaikan secara baik.

“Insya-Allah, Pas Selangor dapat menangani situasi tersebut dengan baik,” katanya. UTUSAN 
 
Copyright © 2014 PenangKini.