BREAKING NEWS

Tuesday, 9 January 2018

Solidariti Bersama Cikgu Noor Idzahril #pray4cikguidzahril


Lebih 100 orang berkumpul di perkarangan Mahkamah Majistret Jawi di sini hari ini bagi menunjukkan solidariti kepada Cikgu Noor Idzahril Ahmad yang didakwa mendatangkan kecederaan kepada muridnya.

Antara yang hadir adalah Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Zambri Mohd. Isa dan Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat Datuk Mohamed Sabri Mohd. Arsad.

Peguam Mohd Fadhly Yaacob yang mewakili Noor Idzahril berkata, pihaknya memohon kes dilepas tanpa dibebaskan berikutan pihak pendakwaan gagal menyerahkan laporan perubatan pada sebutan semula kes kali ketiga.

"Asas permohonan kami adalah Seksyen 323 Kanun Keseksaan perlu ada elemen kecederaan tetapi sehingga sekarang, pihak pendakwaan masih gagal menyerahkan laporan perubatan.

"Ini bermakna pertuduhan adalah pramatang. Justeru, kami mohon Noor Idzahril dibebas dan dilepaskan daripada pertuduhan," katanya di perkarangan mahkamah, di sini.

Noor Idzahril yang juga guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Acheh, dihadapkan di Mahkamah Majistret Jawi pada 11 Disember lalu kerana didakwa memukul seorang murid Tahun Tiga SK Sri Sentosa pada 2 Ogos lalu.

Pada prosiding hari ini, Majistret Hizween Azleena Othman Kamal menetapkan 19 Februari ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa.

Cikgu Idzahril kali pertama didakwa di mahkamah pada 11 Disember tahun lalu dan dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM4,000.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan kepada seorang murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Sri Sentosa, Nibong Tebal pada 2 Ogos tahun lalu. -

 





 
Copyright © 2014 PenangKini.