BREAKING NEWS

Friday, 5 January 2018

SPRM digesa siasat projek Terowong Bawah Laut Pulau Pinang - PCM



PUTRAJAYA 5 Jan. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat projek Terowong Bawah Laut Pulau Pinang yang bernilai kira-kira RM15 bilion kerana didakwa mempunyai unsur rasuah dan penyelewengan.

Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan mendakwa, berdasarkan bukti baharu yang diperoleh pihaknya mendapati Kerajaan DAP Pulau Pinang telah membenarkan syarikat tujuan khas (SPV) bagi projek tersebut membuat pra jualan tanah negeri bernilai RM3 bilion biar pun projek jalan itu telah mengalami kelewatan selama empat tahun.

Beliau berkata, lebih menghairankan apabila pemberian projek tersebut kepada syarikat berkenaan telah menggunakan peruntukan sebanyak RM9 bilion dana kerajaan negeri.

“Berdasarkan bukti yang kita peroleh kerajaan negeri akan menggunakan kira-kira RM9 bilion duit rakyat Pulau Pinang untuk pembinaan projek Gurney Drive ini. Antaranya, kerajaan negeri akan membina lapan lorong jalan di kawasan itu dengan kos antara RM300 juta hingga RM400 juta.

“Selain itu, kerajaan negeri juga akan membina sebuah lebuh raya baharu dikenali sebagai Pan Island Link sejauh RM19.5 km dengan menelan belanja kira-kira RM7.5 bilion,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Cheng Guan berkata, lebih mengejutkan apabila kos bagi satu km pembinaan lebuh raya itu sahaja mencecah RM385 juta iaitu paling mahal pernah direkodkan di Malaysia.-UTUSAN ONLINE



 
Copyright © 2014 PenangKini.