BREAKING NEWS

Thursday, 11 January 2018

Tindakan pantas siasat skandal dihargai – Datuk Huan Cheng Guan

PULAU PINANG 10 Jan. – Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan melahirkan penghargaan terhadap komitmen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat skandal projek terowong dasar laut yang dirancang Kerajaan DAP Pulau Pinang.


Menurut beliau, tindakan yang diambil pihak SPRM membuktikan pihak berkuasa berkenaan tidak berkrompromi dalam mana-mana isu yang dikhuatiri melibatkan elemen pecah ama­nah dan salah guna kuasa.


Tambahnya, tindakan pantas itu juga memperlihat SPRM ya­kin dengan laporan yang dibuat pihaknya sebelum ini termasuk kredibiliti bukti yang diserahkan, sekali gus memerlukan siasatan terperinci dilakukan.

“Pada saya serbuan pantas yang dilakukan SPRM ini juga berkemungkinan mengelakkan sebarang bukti yang ada dimusnahkan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya di sini hari ini.

SPRM hari ini memperoleh perintah tahanan reman ke atas dua eksekutif kanan syarikat pemaju bergelar Datuk bagi membantu siasatan berhubung kontroversi projek terowong dasar laut bernilai lebih RM6 bi­lion tersebut.

Sebelum ini, PCM membuat dua laporan di SPRM Putrajaya masing-masing 17 Julai tahun lalu dan 5 Januari lalu supaya siasatan dapat dijalankan berhubung kemungkinan wujud ele­men salah guna kuasa dan rasuah dalam projek tersebut.

Sementara itu Cheng Guan berkata, usahanya membuat laporan terhadap SPRM berhubung projek kontroversi ter­sebut semata-mata untuk mendapatkan keadilan kepada penduduk negeri ini.

Ujarnya, projek terowong dasar laut itu merupakan rancangan yang sia-sia memandang­kan negeri ini sudah mempunyai dua jambatan yang menghubungkan Seberang Perai dengan kawasan pulau.

Malah tambah beliau, sehingga ke hari ini juga laporan keboleh­laksanaan projek itu yang sepatutnya sudah siap masih tidak kelihatan walaupun be­ratus-ratus juta te­lah dibayar kepada pihak kontraktor.

“Sebab itu saya berharap SPRM menyiasat skandal ini sehingga ke lubang cacing dan memastikan mereka yang bertanggungjawab menyalahgunakan kuasa dan mencuri wang rakyat ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah serta tindakan yang sewajarnya dikenakan ke atas mereka,” katanya.

UTUSAN


 
Copyright © 2014 PenangKini.