BREAKING NEWS

Wednesday, 3 January 2018

UMNO Permatang Pauh sedia lawan Nurul Izzah


3 JAN: UMNO Permatang Pauh tidak gentar dengan PKR yang dipercayai bakal meletakkan Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar bertanding di kerusi parlimen berkenaan pada PRU-14.
Ketua Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata pihaknya sudah bersedia untuk menentang dengan sesiapa sahaja calon kerana sedar kawasan itu adalah kerusi panas yang sering menjadi tumpuan.
“Justeru, kita sudah melaksanakan gerak kerja yang lebih komprehensif bagi membuktikan banyak perubahan dan pembangunan yang dibawa UMNO di Permatang Pauh.
“Kita tidak pernah berhenti bekerja, malah, sebaik sahaja PRU-13 selesai, persiapan untuk berdepan dengan PRU-14 sudah lama bermula dan kita sudah berjaya memperbaiki kesilapan lalu,” katanya selepas Program Sumbangan Alat Tulis di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Baharu, Bukit Mertajam, hari ini.
Sebelum ini, sebuah portal melaporkan bahawa Nurul Izzah dikatakan bakal bertanding di Permatang Pauh pada PRU Ke-14, manakala ibunya yang juga penyandang kerusi parlimen itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan berpindah ke Lembah Klang.
Jelasnya, beliau tidak pasti sama ada  Nurul Izzah akan bertanding di Permatang Pauh atau sebaliknya, namun petunjuk sudah mula nampak apabila Ahli Parlimen Lembah Pantai itu kerap pulang ke kawasan berkenaan.
“Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa laluan untuk PKR mengekalkan kerusi Permatang Pauh tidak lagi mudah apatah lagi selepas berlaku kecelaruan selepas PAS mengundur diri dari pakatan pembangkang,” katanya.


 
Copyright © 2014 PenangKini.