BREAKING NEWS

Friday, 26 January 2018

UMNO Sebuah Parti Istimewa - Shamsul Anuar


 

UMNO merupakan sebuah parti istimewa kerana ia membela semua golongan tanpa mengira latar belakang kaum, agama atau fahaman politik, kata Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Katanya UMNO juga istimewa kerana ia disertai oleh pelbagai etnik bumiputera dan agama sekali gus menunjukkan keupayaan parti berkenaan untuk menyatupadukan rakyat majmuk di negara ini di bawah satu hala tuju dan prinsip.

“Kalau di Tenom ini, nampak jelas daripada (etnik) Dusun, Murut dan Lundayoh. Ini menunjukkan kepelbagaian kita. Ini menjadi kekuatan kepada parti,” katanya kepada pemberita pada Program UMNO Bantu Rakyat 2.0 di sini hari ini.

Beliau memberi contoh bantuan persekolahan yang diagihkan kepada pelajar di Tenom hari ini yang jelas melangkaui batas kaum dan fahaman politik.

Justeru, Shamsul Anuar yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO mengajak rakyat di Tenom agar terus memberi amanah dan mandat besar kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk berkhidmat kepada rakyat pada pilihan raya umum ke-14.

“Jika kita letakkan amanah kepada parti pembangkang khususnya Pakatan Harapan yang ternyata berbeza (prinsip), tidak sama hala tuju dan agenda, ia sebenarnya akan merosakkan masa depan rakyat dan generasi akan datang di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Tenom Datuk Rubin Balang ketika merasmikan program berkenaan mahu rakyat terus bersatu memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada kerajaan BN pada PRU akan datang.

Pada majlis itu, Shamsul menyerahkan replika cek bernilai RM30,000 kepada Rubin untuk pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) bagi pelajar sekolah terpilih di daerah ini.

— BERNAMA
 
Copyright © 2014 PenangKini.