BREAKING NEWS

Monday, 22 January 2018

Umno tak pernah guna saya serang pembangkang - Dira Abu Zahar

 Umno tidak seperti pembangkang yang akan mengambil kesempatan dengan menjadikan selebriti sebagai modal politik untuk menyerang musuh, dakwa pengarah dan pelakon, Dira Abu Zahar.

Dira atau nama sebenar Khaidhirah Abu Zahar berkata, berdasarkan pengalamannya, parti Melayu itu tidak pernah memperalatkan beliau untuk rakyat menyokong kerajaan Barisan Nasional.

“Saya rasa parti kerajaan sendiri paling kurang sekali ‘take a ride on celebrity’. Saya sendiri dalam parti tidak dilambung sangat, orang Umno sendiri tak ada guna saya untuk hentam di sebelah sana.

“Mereka (pemimpin Umno) hanya datang dan secara peribadi memberitahu ‘ucapan anda bagus atau sekadar mengatakan keep going on and keep doing it’,” katanya sempena Empirical Talk anjuran NGO Empirical Malaysia yang diketuai salah seorang bekas pengasas PPBM, Anina Saadudin.

Dira yang juga exco Puteri Umno Bahagian Tangga Batu, Melaka turut menepis dakwaan artis menyertai politik kerana “tidak laku” dalam bidang hiburan.


“Saya masih bergerak aktif di belakang tabir dalam industri ini, tidak sokong pun ada saja kerja. Ada juga persepsi kata baik jangan tunjuk kita sokong mana-mana parti supaya peminat tak lari. Pandangan itu adalah tanggapan sesetengah pihak sahaja.

“Anda tak sokong kerajaan pun dapat job, anda tak nyatakan sokongan pun dapat ‘job’, konsert masih lagi dibenarkan, teater pun masih dibolehkan.

“Bila saya dah aktif parti politik, mungkin nampak kurang dan ada kata tak laku, tapi saya kena kurangkan sebab kita bagi tumpuan kepada benda lain. Rezeki itu masih ada, saya yang pilih jalan untuk tak aktif secara komersial dan ia tidak ada kena-mengena pun dengan sokong politik.”

Beliau berkata, menyertai politik memerlukan kesabaran tinggi untuk menghadapi kecaman lawan.

Awal bulan lalu, Dira ketika berucap pada Perhimpunan Agung Puteri Umno menyelar Fathia Latiff yang mendakwa sumbangan Tun Dr Mahathir Mohamad kepada negara seolah-olah semakin dilupakan rakyat.

“Kenapa hendak percaya kepada dakyah-dakyah ringan seperti Fathia Latiff. Tidak perlu. Dia bukan tahu apa pun. Kalau betul hendak cerita pasal rakyat, turun padang macam Puteri Umno.

“Setakat pegang telefon bimbit dan tekan-tekan dia boleh duduk diam-diam. Betulkan hidup dia dulu, betulkan lakonan dia dulu, tidak payah sibuk hal kerajaan,” kata Dira.
 
Copyright © 2014 PenangKini.