BREAKING NEWS

Monday, 1 January 2018

Waspada tawaran kerja di luar negara - Datuk Seri Reezal Merican

KUALA LUMPUR 31 Dis. – Rakyat Malaysia seharusnya berwaspada sebelum menerima tawaran pekerjaan di negara asing bagi mengelak mereka menjadi mangsa perhambaan moden.


REEZAL MERICAN
Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, siasatan awal mendapati masalah buruh haram melibatkan rakyat Malaysia di luar negara berpunca daripada penipuan pihak tertentu yang se­nga­ja memberikan gambaran palsu mengenai keadaan pekerjaan tersebut.


“Apa yang digambarkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini jauh sekali dari realiti yang bakal dialami oleh rakyat Malaysia yang ingin bekerja di luar negara secara tidak sah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Laporan eksklusif Mingguan Malaysia hari ini mendedahkan tentang masalah buruh haram Malaysia di luar negara yang sebelum ini berlaku di Australia mula merebak ke Korea Selatan kerana negara itu menawarkan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor termasuk pengilangan dan perkhidmatan dan tidak tertumpu kepada perladangan semata-mata.

Bermula pertengahan tahun ini, trend kemasukan buruh ha­ram itu melonjak dengan ketara antaranya disumbangkan oleh pe­ranan ejen yang agresif dan berlumba-lumba merekrut pekerja melalui media sosial khusus­nya Facebook.

Sehubungan itu, beliau menasihati rakyat supaya mendapatkan maklumat sahih dan terperinci daripada kedutaan besar Malaysia di negara-negara asing terlebih dahulu serta mematuhi undang-undang imigresen yang berkaitan.

“Sekiranya mana-mana individu memasuki sesebuah negara tanpa permit atau visa yang sah, termasuk permit pekerja asing, mereka boleh berdepan dengan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa tempatan.

“Kedutaan Besar Malaysia di luar negara juga akan menghadapi kesukaran dalam memberikan bantuan konsular kepada rakyat kita yang didapati bekerja di luar negara tanpa permit yang sah. Hal ini juga secara tidak langsung boleh mencemarkan imej negara kita,” jelasnya.

Reezal Merican menambah, kementerian juga telah dimaklumkan mengenai kegiatan segelintir pihak yang menawarkan peluang pekerjaan sambil me­lancong kepada rakyat Malaysia ke beberapa negara tertentu serta dijanjikan dengan gaji yang lumayan.

SUMBER
 
Copyright © 2014 PenangKini.