BREAKING NEWS

Monday, 22 January 2018

Zamihan nasihat Dr M bertaubat, jangan kembali berpolitik

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zin menasihatkan Tun Dr Mahathir Mohamad bertaubat atas kesilapannya sepanjang 22 tahun memerintah negara dan jangan terbabit dalam politik lagi.

“… masa kita berkuasa kita buat macam-macam. Kita sanggup keluarkan arahan yang melukakan hati rakyat, meragut nyawa rakyat. Tetapi bila orang lain memerintah kita kata tak betul, tak benar, tak maju, tak patut.

“Bagi saya, orang tua yang sudah berkuasa lebih 22 tahun sepatutnya masuk pondok, mengaji kitab, zikir banyak-banyak, bertaubat mohon maaf kepada manusia atas kesilapan yang lalu.

“…dan membuat amal jariah yang banyak untuk akhirat. Sepatutnya tak payah fikir politik kalau sudah tua bangka, nak dekat mati ini,” katanya dalam wawancara dengan Watan Online yang disiarkan secara langsung di Facebook hari ini.

Dr Mahathir kembali aktif berpolitik dengan menubuhkan PPBM pada 7 September 2016 dan dicalonkan Pakatan Harapan (PH) sebagai perdana menteri, jika gabungan 4 parti pembangkang itu memenangi pilihan raya umum ke-14.

Zamihan juga mendakwa Dr Mahathir kembali aktif berpolitik dengan niat tidak baik kerana pengerusi PPBM itu cemburu dengan kuasa dimiliki pemimpin sedia ada.


“Kita buat ‘comeback’ di penghujung usia, sebab dulu kita berkuasa dengan niat tak betul, hamba kepada dunia dan sekarang ini bila tengok orang lain berkuasa, kita rasa cemburu dan rasa nak buat penampilan semula dan ini sesuatu yang tidak patut.

“Sebab itu saya kata niat dia politik dunia.

“Nak kuasa politik untuk kesenangan dunia semata-mata dan melihat orang lain bodoh belaka. Dia seorang cerdik, orang lain tak pandai, tak bijak fikir selepas tak berwawasan. Yang cerdik pandai, membangun, maju aku. Mana boleh fikir begitu.”

Sementara itu, Zamihan berkata, haram untuk umat Islam mengundi DAP yang menolak hukum-hakam Islam kerana membantah usaha PAS meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi memberikan kuasa menjatuhkan hukuman lebih berat ke atas pesalah Islam.

“Jika jelas DAP itu bertentangan dengan Islam dan anti Islam, maka haram untuk umat Islam menyokong aspirasi perjuangan DAP, mengundi DAP bukan haram kering, tetapi haram basah.

“Orang DAP nak marah saya tidak apalah, saya tidak ada kepentingan pada Umno, Amanah, PAS, PKR. Kita NGO. Kita bersuara demi kebenaran. Mencari keredaan Allah, bukan orang kata bayar duit pada kita.

“Haram mengundi, haram menyokong, haram membantu dan banyak-banyak benda haram itu kesimpulannya haram jadah,” kata pendakwah kontroversi itu yang dilarang mengajar dan memberi ceramah di Perak kerana memecah belahkan umat Islam di negeri berkenaan.

Pada 11 Oktober lalu, Zamihan direman 3 hari di bawah Akta Hasutan selepas ceramahnya di Shah Alam mengkritik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menyelar sebuah kedai dobi di Muar melaksanakan dasar “mesra Muslim”.

Zamihan turut mempersoalkan tahap kebersihan orang bukan Islam yang mengundang kemarahan ramai.

Pada 16 Oktober lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik tauliah Zamihan untuk mengajar agama kerana isi kandungan ceramahnya disifatkan “rasis” dan “kurang beradab”.

 
Copyright © 2014 PenangKini.