BREAKING NEWS

Sunday, 18 February 2018

850 pengguna kereta kabel Langkawi terkandas


LANGKAWI: Seramai 850 pengguna perkhidmatan SkyCab di Gunung Machinchang di sini, terkandas dipercayai akibat kerosakan teknikal hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, seramai 50 pengguna dilaporkan terperangkap dalam gondola, manakala bakinya 800 orang terkandas di stesen pertama.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Mohamad Mustakim Mukhtar, berkata seramai 16 anggota bersama tiga jentera termasuk jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 6.53 petang.

"Berdasarkan maklumat awal, seramai 50 orang terperangkap dalam gondola dan lebih 800 orang terkandas di stesen pertama di gunung itu.

"Sejurus tiba anggota bomba membantu kakitangan SkyCab untuk membawa peralatan dan alat ganti ke stesen pertama bagi tujuan membaiki kerosakan," katanya dalam kenyataan di sini.

Mohamad Mustakim berkata, anggota bomba dan kakitangan SkyCab perlu mendaki gunung untuk sampai ke stesen pertama bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dilakukan.

"Kerja-kerja membaik pulih dijangka mengambil masa antara dua dan tiga jam.

"Keadaan ketika ini terkawal dan operasi masih berjalan," katanya. -BH Online
 
Copyright © 2014 PenangKini.