BREAKING NEWS

Wednesday, 7 February 2018

ADUN DAP cabar jawatan KM dihad dua penggal


GEORGETOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu daripada DAP sekali lagi mengulangi gesaan supaya tempoh jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang dihadkan kepada dua penggal saja.
Beliau berkata, ini masa sesuai untuk mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri, susulan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang mahu jawatan Perdana Menteri dihadkan bagi tempoh sama.
"Jika mereka mahu ia diletakkan dalam manifesto, mereka perlu buktikan dulu. Tambahan pula PH berkuasa di Selangor dan Pulau Pinang, jadi buktikan dulu kepada rakyat sekarang.
"Jika mereka tidak buat sekarang, ini bermakna manifesto itu hanya janji kosong saja kepada rakyat. Rakyat perlu bijak menilai," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Ditanya adakah beliau tidak takut dengan hukuman yang akan dikenakan DAP akibat melontarkan cadangan berkenaan, Yee Cheu berkata, parti itu sudah pun menghukumnya menerusi pelantikan tidak rasmi 'ADUN Tanjung Bungah baharu'.
Katanya, kerajaan negeri melantik Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari bagi melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat di Tanjung Bungah, selain turut menamatkan kontrak pembantunya bulan lalu.
"Kerajaan negeri menamatkan kontrak pembantu saya yang sepatutnya berakhir Jun ini. Malah, Zairil turut membuka pusat khidmat ADUN Tanjung Bungah yang baharu kelmarin, untuk menggantikan semua kerja saya.
"Saya tidak takut lagi dengan hukuman DAP kerana mereka sudah pun menghukum saya," katanya.
Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) 2014, Yee Cheu mencadangkan jawatan Ketua Menteri disandang secara bergilir dan mengehadkan tempohnya kepada dua penggal saja untuk memberi peluang kepada pemimpin lain yang berkebolehan.
Bagaimanapun, usul itu ditolak selepas mendapat reaksi bercampur-campur daripada anggota DUN.
Pada 31 Mac 2016, Yee Cheu sekali lagi mengemukakan usul sama, namun ditolak untuk kali kedua.
BERITA HARIAN
 
Copyright © 2014 PenangKini.