BREAKING NEWS

Tuesday, 13 February 2018

Anak Jati Pulau Pinang Tuntut Perjanjian Terowong Dasar Laut

GEORGETOWN: Dua anak jati Pulau Pinang memfailkan permohonan untuk membeli dokumen berkaitan projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya, dianggarkan bernilai RM6.3 bilion yang dirangka kerajaan negeri pimpinan DAP.

Permohonan itu dikemukakan Jason Loo Jieh Shieng, 36, dan Puvanitan Puven, 34, bagi mendapatkan penjelasan terperinci berhubung projek mega dianggar bernilai RM6.3 bilion itu, di lobi Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), di sini.

Jason berkata, permohonan itu dibuat atas kapasitinya sebagai anak jati Pulau Pinang selepas Ketua Menteri, Lim Guan Eng menyatakan tiada keperluan mendedahkan perjanjian projek terbabit kepada pihak tidak berkaitan.

Katanya, permohonan itu antara lain bagi mendapatkan penjelasan mengenai projek terowong dasar laut dan lebuh raya, sama ada keseluruhan pelaksanaannya dibuat dalam satu pakej dan perjanjian sama atau sebaliknya.

"Sebelum ini, saya sering membuat permohonan sama atas kapasiti sebagai pemangku Ketua Pemuda dan bekas Ketua Biro Undang-Undang Pemuda GERAKAN negeri, tetapi mendapat pelbagai halangan daripada mendapatkan dokumen berkenaan.

"Bagaimanapun, kali ini saya akan mengemukakan permohonan sebagai rakyat Pulau Pinang yang mempunyai kaitan secara langsung dalam projek ini, selain pentadbiran kerajaan negeri diharap dapat menghormati permohonan dikemukakan anak jati negeri ini.

"Guan Eng sebelum ini, menjelaskan tiada keperluan untuk mendedahkan dokumen mengenai projek ini kepada pihak tidak berkaitan, termasuk Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Permohonan dikemukakan Jason dan Puvaniten itu, bagaimanapun tidak diterima apabila pegawai bagi proses berkenaan dikatakan menjalani tugasan luar, selain maklum balas mengenainya hanya akan diberikan selepas dua minggu.

Sabtu lalu, Guan Eng menegaskan tiada keperluan untuk mendedahkan perjanjian atau apa-apa dokumen mengenai projek terowong dasar laut kepada pihak yang tidak mempunyai kaitan dalam pelaksanaannya.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer itu akan menghubungkan Persiaran Gurney di sini, ke Bagan Ajam di Seberang Perai Utara dengan pembinaan dijangka dimulakan pada 2023.

Projek mega itu juga mendapat perhatian ramai sejurus Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan beberapa individu dan memanggil hampir 100 saksi hingga ia menjadi paparan utama media sejak bulan lalu - BH
 
Copyright © 2014 PenangKini.