BREAKING NEWS

Wednesday, 7 February 2018

Bantuan Pesawah Dijangka Mula DIagih Pertengahan Mac

FW670927_KD04_010218_MADA_BN201802047961-scr.JPG

Bantuan pesawah sebanyak RM200 sebulan selama tiga bulan seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2018 dijangka mula diagih selepas pertengahan Mac ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz.
Beliau berkata ini kerana aktiviti penanaman padi bagi musim pertama tahun ini akan bermula antara Mac hingga April nanti dan disasarkan pengagihan bantuan berkenaan akan selesai sepenuhnya sama ada pada akhir Mac atau awal April.
"...musim menabur sehingga menuai lebih kurang 100 hari atau tiga bulan, mereka (pesawah) akan diperuntukkan sebanyak RM600� duit ini semua sudah ada. Penyerahan bantuan ini secara simbolik dijangka dibuat perdana menteri untuk pesawah di seluruh negara termasuk (kira-kira 57,000) pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pada pertengahan Mac ini," katanya.
Othman yang juga pengerusi MADA berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air dan Penanaman Padi (MJBAPP) bagi musim 1/2018 semalam. 
Katanya bantuan itu akan diagihkan mengikut Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan sehubungan itu beliau meminta pesawah membuat semakan nama di PPK masing-masing sebelum bantuan itu mula diagihkan bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada menikmati manfaat diberikan kerajaan itu.
Pada pembentangan Bajet 2018, perdana menteri mengumumkan bantuan pesawah RM200 sebulan bagi tempoh tiga bulan pertama sementara menunggu hasil tuaian padi dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM150 juta.
"Sekarang kita sedang buat proses penilaian dan memuktamadkan senarai petani yang ada (untuk pemberian bantuan itu), takut terlepas pandang. Sila rujuk PPK masing-masing. Kita tidak mahu jadi di mana orang yang tidak buat bendang dapat bantuan ini sementara orang yang betul-betul buat bendang tidak dapat bantuan ini," katanya.
Dalam pada itu, Othman meminta pesawah mematuhi jadual tanaman padi disediakan MADA kerana ia dapat membantu dalam meningkatkan hasil padi dan seterusnya memperoleh pendapatan yang baik.
"Ia boleh mengawal daripada terkena padi angin dengan cara mengamalkan persediaan rapi dari segi persediaan tanah, jadual racun dan memastikan saliran bersih supaya air dapat mengalir masuk dan keluar ke sawah," katanya.
Dalam pada itu, katanya takungan empangan MADA berada pada paras selesa untuk bekalan pengairan penanaman padi musim pertama tahun ini serta kegunaan domestik.
 
Copyright © 2014 PenangKini.