BREAKING NEWS

Tuesday, 20 February 2018

Benarkah Pulau Pinang selamanya milik DAP?

AYAT yang paling biasa didengar setiap kali dibangkitkan mengenai masa depan Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang adalah ‘memang tidak ada harapan’.

Sampai bila-bila pun, Pulau Pinang tidak akan lagi terlepas ke tangan BN dan kekal diperintah pembangkang khususnya DAP. Hujah utamanya adalah kerana majoriti pengundi di Pulau Pinang merupakan masyarakat Cina dan penyokong kuat DAP. Sentimen tsunami orang Cina yang menolak kerajaan BN seperti yang berlaku pada pilihan raya umum 2008 juga masih tersisa sehingga ke hari ini.


Namun benarkah begitu sukar untuk merobohkan kubu kuat DAP di negeri ini? Jawapan kepada persoalan ini mungkin sangat jelas kira-kira 10 tahun lalu ketika sentimen penolakan kepada BN termasuk Gerakan dalam kalangan masyarakat Cina begitu kuat.

Ketika itu, masyarakat Cina di seluruh negara ter­pedaya dengan sekian banyak pembohongan dan janji manis pembangkang kononnya menawarkan sebuah kerajaan baharu yang lebih baik berbanding BN.

Di Pulau Pinang juga, pelbagai janji ditabur khususnya DAP untuk memancing undi sehingga rakyat khususnya masyarakat Cina terpedaya untuk memberi sokongan.

Namun selepas hampir 10 tahun, penduduk negeri ini perlu menyemak semula apakah janji yang dibuat DAP itu benar-benar ditunaikan? Apakah harapan kepada sebuah pentadbiran dan kerajaan negeri yang lebih baik berban­ding BN itu benar-benar dilaksanakan DAP ketika ini?

Jika melihat kepada rekod pemerintahan sepanjang 10 tahun lalu, apa yang boleh disimpulkan DAP bukan sahaja gagal menjadi alternatif kepada sebuah kerajaan negeri yang lebih baik. Sebaliknya, penduduk negeri ini lebih berasa tertekan dengan pelbagai isu dan kontroversi yang timbul disebabkan kelemahan pentadbiran kerajaan DAP.

Isu paling ketara sudah semestinya berkenaan rumah mampu milik yang kini semakin jauh daripada jangkauan dan kemampuan penduduk negeri ini. Isu ini sebenarnya sudah berbangkit ketika era pentadbiran BN khususnya di bahagian pulau dan antara sebab mengapa penduduk ne­geri ini terpengaruh dengan DAP adalah kerana dijanjikan peluang lebih mudah untuk memiliki rumah mampu milik. Malangnya hari ini, isu ini bukan sahaja gagal diatasi kerajaan DAP Pulau Pinang sebaliknya penduduk berasa lebih tertekan berbanding ketika era pentadbiran BN dahulu. Rumah mampu milik di negeri ini ketika ini ditetapkan pada harga kira-kira RM400,000, jauh lebih tinggi berbanding mana-mana negeri lain selain terlampau mahal berbanding purata pendapatan penduduk negeri ini.

Lebih malang, usaha kerajaan membina rumah mampu milik menerusi beberapa agensi berkaitan pula seolah-olah dihalang menerusi pelbagai kerenah birokrasi. Sebab itu bukan perkara asing lagi apabila disebut bahagian pulau negeri ini hari ini hanya didiami mereka yang dari kelas kaya dan mewah.

Isu lain yang kini semakin dipersoalkan penduduk juga adalah janji untuk menyelesaikan masalah banjir yang bukan sahaja gagal ditangani, malah semakin buruk.

Ketika ini, penduduk Pulau Pinang hidup dalam kebimbangan setiap kali hujan kerana rumah mereka hampir pasti ditenggelami banjir seperti yang kerap berlaku sebelum ini. Isu ini juga berkait dengan janji DAP kononnya mahu mambangunkan negeri ini secara lestari dan hijau tanpa mengakibatkan kemusnahan alam sekitar.

Malangnya, apa yang dapat disaksikan penduduk ketika ini adalah lebih banyak kawasan hutan dan lereng bukit diteroka bagi memberi laluan kepada pembangunan komer­sial. Begitu juga lebih banyak kawasan laut ditambak dan dirancang untuk ditambak atas alasan yang tidak kukuh iaitu semata-mata untuk mencari modal bagi menjalankan projek pengangkutan bersepadu.

Kesemua ini adalah dasar yang bertentangan dengan apa yang dijanjikan pembangkang khususnya DAP ketika pilihan raya umum lalu sekali gus menunjukkan janji pembangkang adalah semata-mata untuk mendapatkan kuasa, bukannya membela kepentingan rakyat.

Jika perkara ini dinilai secara teliti dan berhati-hati oleh penduduk negeri ini, tidak mustahil kubu kuat DAP di Pulau Pinang ini boleh roboh dan pembangunan negeri ini berjalan seperti diharapkan penduduknya.



SUMBER 
 
Copyright © 2014 PenangKini.