BREAKING NEWS

Thursday, 8 February 2018

Berita Palsu: Ahmad Zahid Bidas Pakatan Harapan

PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini membidas dakwaan Pakatan Harapan yang diketuai DAP bahawa penggubalan undang-un­dang baharu bagi mengekang penularan berita palsu oleh kerajaan adalah bertujuan menutup ‘kebenaran’.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, penggubalan itu tidak sama sekali untuk menutup sebarang kebenaran.

“Apakah kebenaran (sebenarnya bagi Pakatan Harapan)? Apakah ‘kebenaran’ seperti diperkatakan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 melibatkan dakwaan 400,000 warga Bangladesh dibawa ke negara ini? Apakah itu bukan berita palsu?

“Adakah itu ‘kebenaran’ yang akan dibawa sekali lagi oleh mereka? Akan ada berita-berita palsu pada saat-saat akhir pada strategi kempen... Saya sangat pasti,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini yang ‘khuatir’ tentang cadangan undang-undang terhadap berita palsu, mengatakan ia undang-undang ‘baik’ tetapi tidak boleh digunakan untuk menutup kebenaran.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan telah meminta pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk mempertingkatkan siasatan dan memenuhi aduan-aduan terhadap isu Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Katanya, langah itu kerana kebolehpercayaan terhadap ROS adalah cukup tinggi kerana sifat ketelusan jabatan itu selama ini dalam melakukan siasatan terhadap pertubuhan-pertubuhan dan badan-badan politik yang menerima aduan dari ahli-ahli mereka sendiri.

Ditanya adakah siasatan tersebut boleh dilakukan dalam tempoh dua minggu ekoran gesaan ahli-ahli PPBM semalam, Ahmad Zahid berkata, perkara itu diserahkan kepada ROS kerana sebagai menteri, beliau tidak terlibat dalam aktiviti pengoperasian jabatan berkenaan.

Berhubung perhimpunan yang akan diadakan oleh kira-kira 1,000 ahli-ahli PPBM di ibu pejabat ROS di sini sebagai tanda protes, beliau berkata, perkara itu bergantung kepada ahli-ahli parti tersebut tetapi pihak polis akan hadir untuk memantau.
- UTUSAN ONLINE

 
Copyright © 2014 PenangKini.