BREAKING NEWS

Sunday, 25 February 2018

BN perlu mandat lebih besar majukan Kedah - Zahid Hamidi

ALOR SETAR: Kerajaan Barisan Nasional (BN) memerlukan mandat lebih besar di Kedah bagi memastikan kesinambungan pembangunan, termasuk dalam bidang teknologi tinggi di negeri itu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, kerajaan persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan memastikan pembangunan di Kedah dilaksanakan dengan seimbang di kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar, yang merupakan 3 elemen penting untuk memajukan negeri itu.

“Walaupun Kedah merupakan negeri yang menghasilkan 37% makanan utama negara, kerajaan persekutuan tidak akan lupakan Kedah dalam (pembangunan) bidang teknologi tinggi.

“Saya akan terus bantu perdana menteri untuk pastikan Kedah akan terus diberi keutamaan dengan syarat kita (BN) diberi mandat lebih besar daripada apa yang diberikan selama ini,” katanya berucap merasmikan Ekspo Muafakat Kedah hari ini.

Beliau turut menegaskan semua pengumuman peruntukan yang dibuat perdana menteri ketika melawat Kedah dan Langkawi bukan dedak, sebaliknya ia adalah komitmen kerajaan persekutuan untuk rakyat negeri itu sepenuhnya.


“Kalau RM1.3 bilion (yang diumumkan perdana menteri untuk projek di Langkawi dikatakan) sebagai dedak, orang yang bercakap itulah yang selama ini beri dedak kepada rakyat Kedah,” katanya yang jelas merujuk kenyataan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menuduh kerajaan memberi “dedak” kepada penduduk Langkawi menerusi peruntukan itu.

Zahid berkata, sebaliknya perdana menteri dan menteri besar Kedah menghimpunkan seluruh tenaga dan pemikiran untuk menyediakan peruntukan bagi membangun serta memajukan negeri itu dengan projek besar dan baharu yang dalam penelitian untuk dilaksanakan.

“Kerajaan persekutuan di bawah kepimpinan perdana menteri, dan saya pasti bantu beliau pastikan peruntukan itu mengalir dengan deras di Kedah,” katanya.

Beliau berkata, di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan pasukannya berjaya bukan sahaja meneruskan kesinambungan pembangunan di negeri itu, tetapi turut dapat melonjakkan kemajuan serta hasil pendapatan Kedah.

Zahid berkata, bagaimanapun segala usaha kerajaan persekutuan itu memerlukan sokongan penuh rakyat bagi memastikan segala perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dalam jangka panjang.

Timbalan perdana menteri berkata, Ekspo Muafakat Kedah yang bermula hari ini menunjukkan bukti segala yang dirancang kepimpinan menteri besar itu diterjemahkan pelaksanaannya oleh barisan kepimpinan negeri dengan kerjasama agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

“Jika ini adalah satu bukti yang diperlihatkan, maka amat rugilah jika tiada kesinambungan pentadbiran negeri Kedah ini.

“Ekspo hari ini bukan hanya perlihatkan ‘showcase’ untuk rakyat, malah ia buktikan suatu pengukuhan dan kesinambungan bukan hanya sebelum ini, ketika ini, malah insya Allah dalam tempoh 5 tahun akan datang…jika mandat lebih besar diberikan, lebih banyak kemajuan akan dibawa.”

Ekspo Muafakat Kedah sehingga 3 Mac ini menghimpunkan 119 jabatan kerajaan dan swasta yang diletakkan dalam 20 kelompok kluster mengikut kesesuaian, antaranya Dirgahayu Tuanku, Barakah Kedah, Suara Hati, Generasi Muda dan Kedah Harmoni.

Melalui ekspo itu, kerjasama semua jabatan dan agensi digembleng di bawah satu bumbung melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), iaitu semua jabatan diberi peluang untuk mempromosi perkhidmatan teras jabatan dan berpeluang memberi perkhidmatan secara terus kepada rakyat.
 
Copyright © 2014 PenangKini.