BREAKING NEWS

Tuesday, 13 February 2018

Henti burukkan nama anak saya, rayu bapa Vasanthapiriya

BUTTERWORTH: Bapa kepada pelajar, M Vasanthapiriya yang menggantung diri selepas dituduh mencuri telefon iPhone milik gurunya, merayu orang ramai berhenti memburuk-burukkan nama anaknya.

Pelajar SMK Methodist di Nibong Tebal yang berusia 13 tahun itu, meninggal dunia selepas seminggu koma di Hospital Seberang Jaya pada awal pagi 1 Februari lalu.

Bercakap kepada pemberita hari ini, Muniandy Ratnam, 54, menyangkal laporan video yang menunjukkan anak perempuannya mengambil telefon bimbit guru tersebut.

Beliau dan isterinya, A Malarvely, 51, juga menafikan spekulasi remaja itu pernah mengelar pergelangan tangannya sebelum ini.

“Kami tidak pernah membawanya ke hospital sebelum ini. Tiada rekod hospital atau laporan polis. Anda juga boleh membuat semakan di klinik.

“Dia tidak mengalami luka di tubuhnya,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Tong Hai hari ini.

Muniandy merujuk kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran II, Datuk P Kamalanathan mengenai cubaan Vasanthapiriya membunuh diri sebelum ini.

“Saya ingin memberitahu Kamalanathan, saya kenal anak perempuan saya. Saya membesar dan mendidiknya. Dia tidak pernah cuba berbuat demikian sebelum ini.

“Dan kepada orang ramai, saya ingin kata, jangan membuat komen yang akan menyakitkan kami. Kami sudah sedih dengan kehilangan anak bongsu kami.”

Muniandy juga kecewa dengan laporan berita ada bukti video yang didakwa menunjukkan Vasanthapiriya mencuri telefon bimbit guru terbabit.

Beliau berkata, Vasanthapiriya tidak pernah mempunyai masalah disiplin di sekolah dan ramah dengan semua orang, tanpa mengira bangsa atau agama.

“Walaupun orang tidak bercakap dengannya, dia tetap akan senyum kepada mereka. Dia sangat mesra dengan semua orang. Dia suka bercakap dan bertukar pandangan. Dia sangat penyayang dan periang.”

Vasanthapiriya bercita-cita menjadi doktor, kata Muniandy. Dia suka melukis dan menyanyi.

Difahamkan Muniandy akan memberi keterangan kepada polis daerah Seberang Perai Selatan hari ini.

Vasanthapiriya dilaporkan menggantung diri di biliknya selepas dituduh mencuri telefon bimbit gurunya. FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.