BREAKING NEWS

Tuesday, 6 February 2018

CRCC bukan pemegang saham projek dasar laut Pulau Pinang - Tiong Lai


GEORGETOWN: Perbadanan Pembinaan Keretapi China (CRCC) mengesahkan pihaknya tidak pernah menjadi pemegang saham bagi syarikat tujuan khas (SPV) bagi projek terowong dasar laut di Pulau Pinang (PP) yang bernilai RM6.3 bilion.

Syarikat itu juga mengesahkan bahawa tidak pernah memegang sebarang saham dalam syarikat induk SPV itu, Zenith Construction Sdn Bhd, atau tidak pernah terbabit secara langsung dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi projek terowong berkenaan, termasuk pembinaan tiga jalan utama di negeri itu.

Kenyataan mengesahkan perkara itu disampaikan kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menerusi pegawai kanan CRCC ketika lawatannya ke China sempena Persidangan Menteri Penerbangan Pertama Asia Pasifik Pertama dan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya di Beijing.


Liow, berkata pegawai kanan CRCC menekankan beberapa perkara kepadanya selepas mereka dimaklumkan dalam taklimat mengenai kontroversi terowong Pulau Pinang dan tiga projek jalan utama.

"CRCC tidak memberi kelulusan atau tidak tahu kenapa kerajaan Pulau Pinang menganggap syarikat ini sebagai pemegang saham bagi projek SPV ini.

"Syarikat itu berkata, mereka hanya menandatangani 'pengakuan komitmen' sebagai lampiran kepada permulaan perjanjian projek itu, bahawa mereka akan melaksanakan projek itu dengan terbaik sekiranya diberi mana-mana bahagian projek oleh SPV," katanya.

Liow juga berkata, beliau diberitahu bahawa, CRCC ada kontrak awal dengan SPV sebagai kontraktor EPC (kejuruteraan, perolehan dan pembinaan) dan diberi kontrak oleh SPV untuk membuat laporan reka bentuk terperinci dengan kos keseluruhan bernilai AS$22 juta bagi ketiga-ketiga jalan raya dan terowong dasar laut.

"CRCC juga memberi jaminan bahawa keunikan terowong Pulau Pinang dan tiga projek jalan tidak boleh digunakan untuk mengukur prestasi mereka. CRCC juga komited terhadap apa juga projek semasa atau masa depan mengikut jadual dan anggaran yang dipersetujui," katanya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong, meminta Kerajaan Pulau Pinang mengemukakan bukti bagi menyokong kenyataan terdahulu bahawa CRCC adalah pemegang saham dalam SPV.

Dalam Buletin edisi keluaran pada 4 Mac 2013 memaparkan, CRCC dan Zenith Construction bersama-sama memiliki 70 peratus saham dalam projek itu.

Pemegang saham lain adalah Beijing Urban Construction Group, Juteras Sdn Bhd dan Sri Tinggi Sdn Bhd, masing-masing berkongsi sepuluh peratus. Syarikat ini bersama membentuk SPV untuk melaksanakan projek itu.

Bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan Timbalan Presiden MCA, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memuat naik video di laman Facebooknya baru-baru ini bagi menjawab persoalan mengenai pelabur projek berkenaan.

Dalam video itu, Guan Eng berkata, komposisi pemegang saham tidak akan menjejaskan projek itu kerana mereka bukan kontraktor utama, sambil menekankan bahawa CRCC masih menjadi kontraktor utama.

Kontroversi projek itu juga turut mendapat desakan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang yang meminta kerajaan negeri untuk membersihkan percanggahan dalam kos kajian kebolehsanaan dan rekabentuk terperinci (FSDD) untuk projek terowong dasar laut.

Sebelum ini juga, CRCC mengumumkan pihaknya menandatangani kontrak FSDD bernilai AS$22 juta (lebih kurang RM69.3 juta) untuk projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang bertarikh 19 Oktober 2015 dan jawapan kerajaan negeri kepada Dewan Undangna Negeri (DUN) pada 19 Mei tahun lalu, meletakkan nilai keseluruhan FSDD pada RM305 juta, berbeza RM236 juta.

Menjelaskan perkara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir Negeri, Chow Kon Yeow, menegaskan CRCC bukan satu-satunya perunding yang terbabit dengan kerja-kerja FSDD untuk projek tersebut.

Kon Yeow berkata, CRCC adalah salah satu daripada 34 perunding yang dilantik oleh Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd untuk menjalankan kajian dengan kos RM305 juta untuk melaksanakan kajian terowong dasar laut dan tiga projek jalan di negeri berkenaan. BH
 
Copyright © 2014 PenangKini.