BREAKING NEWS

Tuesday, 27 February 2018

Guan Eng Perlu Beri Penjelasan - Ka Siong


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sekali lagi didesak supaya menjelaskan sekiranya terdapat penyalahgunaan kuasa atau campur tangan politik dalam penganugerahan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, ini kerana Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. iaitu syarikat bertujuan khas (SPV) yang dilantik menerajui projek bernilai RM6.34 bilion itu telah mengakui tidak memenuhi syarat modal berbayar minimum bernilai RM381 juta.

Sambil menyifatkan kenyataan dikeluarkan SPV berkenaan sebagai ‘paling aneh’, Ka Siong turut mempersoalkan mengapa SPV tersebut tetap dianugerahkan projek itu walaupun jelas tidak memenuhi syarat kelayakan.

“SPV itu juga mengesahkan bahawa China Railway Construction Corporation Malaysia Bhd. (CRCC) hanyalah satu daripada beberapa kontraktor yang dikatakan terlibat dalam membuat laporan kajian kebolehlaksanaan projek bernilai RM305 juta, jelas bercanggah dengan kenyataan Guan Eng bahawa CRCC adalah kontraktor utama.

“Memandangkan SPV telah membuat pengakuan, Guan Eng tidak lagi boleh berlakon kononnya tidak tahu dan tidak menjawab kenyataan serta video saya minggu lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Consortium Zenith Construction dalam satu kenyataan menjelaskan syarikat berkenaan tetap mampu melaksanakan kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM305 juta walaupun hanya mempunyai modal berbayar berjumlah RM26.5 juta. – UTUSAN ONLINE
 
Copyright © 2014 PenangKini.