BREAKING NEWS

Wednesday, 7 February 2018

JPPM terima 47 aduan pelanggaran perlembagaan PPBM

zahid-PPBM


PUTRAJAYA: Sebanyak 47 daripada keseluruhan 249 aduan diterima Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mengenai PPBM adalah berkaitan pelanggaran perlembagaan parti itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad tidak seharusnya menuduh JPPM sengaja melengahkan kelulusan pendaftaran gabungan pembangkang bawah nama Pakatan Harapan (PH) apabila parti itu tidak mengikut perlembagaan ditentukan sendiri oleh mereka.
“JPPM menjalankan tugas secara profesional dan mereka tiada sebarang kepentingan di dalam mana-mana organisasi politik,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Isu Kesesakan di Tambak Johor dan Linkedua hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata sebagai pemimpin yang pernah mengetuai kerajaan, Dr Mahathir seharusnya mengetahui Akta Pertubuhan 1996 menetapkan tugas JPPM adalah menjaga kepentingan ahli sebarang persatuan atau badan politik mengikut perlembagaan organisasi mereka.
“Kejahilan itu berlaku di pihak mereka sendiri termasuk menghantar perwakilan tidak dipilih oleh peringkat bahagian ke mesyuarat agung tahunan dan perwakilan bahagian pun tidak dipilih di peringkat cawangan,” katanya.
Mengenai pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 12 November lepas yang mematuhi semua syarat diarahkan JPPM, Ahmad Zahid berkata surat kepada CEC DAP dikeluarkan semalam.
“Surat ini mengesahkan perjalanan DAP sebagai sebuah parti politik kerana mereka mengikuti semua arahan dikeluarkan JPPM berdasarkan perlembagaan parti berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, dilaporkan masalah dalaman PPBM dan DAP antara punca pendaftaran PH masih belum diluluskan.
 
Copyright © 2014 PenangKini.