BREAKING NEWS

Thursday, 1 February 2018

Kerajaan akan bantu rakyat hadapi ekonomi global, kata Agong

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V yakin kerajaan dapat mengadakan kaedah baharu dan inovatif bagi membantu rakyat hadapi ekonomi global yang masih berada dalam keadaan tidak menentu.



Baginda melahirkan rasa sukacita terhadap kerjasama pihak swasta dan badan bukan kerajaan dengan kerajaan dalam merealisasikan segala perancangan direncanakan untuk rakyat.

“Sebagaimana maklum, keadaan ekonomi global masih lagi tidak menentu. Keadaan ini sudah tentu memberi kesan langsung kepada rakyat terutama yang berpendapatan rendah,” kata baginda pada istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat Hari Wilayah Persekutuan 2018 di Istana Negara.

Baginda turut mengingatkan tentang kepentingan perpaduan di negara dan berharap ia diperkukuhkan lagi.

“Bagi negara Malaysia yang menyasar menjadi antara negara teratas di tangga dunia dalam ekonomi, kesejahteraan rakyat dan inovasi sosial melalui Transformasi Nasional 2050, faktor persefahaman dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, budaya dan agama hendaklah dipupuk secukupnya demi kejayaan negara,” kata baginda.
 
Copyright © 2014 PenangKini.