BREAKING NEWS

Monday, 26 February 2018

Kerajaan DAP Pulau Pinang cakap kosong


BAYAN LEPAS: Kerajaan negeri dianggap hanya cakap kosong apabila sehingga kini masih gagal melaksanakan projek pembinaan tiga jalan raya baharu walaupun pengumuman mengenainya dibuat sejak 2014 lagi.
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman, berkata keadaan berbeza dengan Kerajaan Persekutuan yang menunaikan setiap janji yang dibuatnya.
Katanya, kerja naik taraf Jalan Bayan Lepas-Teluk Kumbar oleh Kerajaan Persekutuan selesai hujung tahun lalu, selepas pengumuman mengenai projek itu dibuat pada 2014.
"Ini yang membezakan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan. Apabila kita janji, kita pasti laksanakan seperti jalan dan jejambat ini yang siap pada penghujung 2017 lagi.
"Kerajaan negeri sehingga kini masih gagal melaksanakan projek tiga jalan raya baharunya, malah pembinaan belum lagi bermula walaupun pengumumannya dibuat pada 2014 lagi," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pembukaan Jalan Persekutuan Bayan Lepas-Teluk Kumbar, di sini, hari ini.
Projek naik taraf jalan sepanjang tiga kilometer dan pembinaan jejambat sepanjang 750 meter dengan kos RM207 juta itu bakal memendekkan perjalanan orang ramai kepada hanya 10 minit berbanding jalan lama yang mengambil masa hampir 30 minit.
Projek berkenaan adalah sebahagian daripada kesinambungan pembinaan Jambatan Sultan Abdul Halim Shah, bertujuan menyuraikan aliran trafik terutamanya di bahagian pulau.
Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan tokoh korporat, Tan Sri Robert Kuok, membiayai DAP bagi menjatuhkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang, Zainal Abidin berkata, pembangkang sering berdolak-dalik dalam isu itu.
"Apabila kena kepada mereka (pembangkang), mereka akan mengatakan tidak apa. Tetapi, apabila kena kepada UMNO, mereka akan ungkit dan bising selama bertahun-tahun.
"Sekarang, Kuok didakwa mahu beri (pembiayaan) pada pembangkang pula. Kenapa tak suruh rakyat saja derma pada mereka seperti yang diminta pemimpin pembangkang?" katanya yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang.
Sebelum ini, blogger, Raja Petra Kamaruddin, menerusi portal Malaysian Today mendakwa, Kuok mempunyai agenda menjatuhkan BN dan menggantikannya dengan DAP, bagi membolehkan kaum Cina memerintah negara, sama ada secara langsung atau di belakang tadbir.- BH
 
Copyright © 2014 PenangKini.