BREAKING NEWS

Wednesday, 14 February 2018

Kertas siasatan kes dera pembantu rumah sedang disiapkan

BUKIT MERTAJAM: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes kematian pembantu rumah warga Indonesia yang dipercayai didera majikannya dalam kejadian di Taman Kota Permai 2, Ahad lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A Thaiveegan berkata polis percaya kes itu dapat diselesaikan dalam masa terdekat susulan penahanan 3 beranak berumur 36 hingga 60 tahun yang merupakan majikan wanita berkenaan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan polis merekodkan sekurang-kurangnya 15 keterangan termasuk saksi, jiran dan doktor yang merawat mangsa bagi melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan.

Polis juga sedang mencari beberapa saksi lagi bagi membantu siasatan kes itu dan setakat ini tiada tangkapan baru kecuali 3 beranak yang merupakan suspek utama,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat 12 sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2018 peringkat Pulau Pinang di Plaza Tol Juru hari ini.

Adelina Lisao, 26, yang mengalami kecederaan parah termasuk luka dan lebam di badan, mati ketika dirawat di Hospital Bukit Mertajam pada kira-kira 4.45 petang Ahad dan mayatnya dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.


Adelina ditemui kira-kira 8.00 malam Sabtu selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki yang juga pembantu kepada ahli parlimen Bukit Mertajam Steven Sim dan ekoran itu polis menahan seorang lelaki dan adik perempuannya berumur 36 dan 39 tahun yang merupakan majikan mangsa bagi membantu siasatan.

Thaiveegan berkata polis juga masih menjalankan siasatan sejak bila pembantu rumah itu didera oleh majikannya namun tidak menolak kemungkinan mangsa didera beberapa bulan lepas berdasarkan kecederaan yang dialami wanita itu.

“Polis masih menunggu laporan lengkap bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa dan selepas itu mungkin kita akan tahu sejak bila pembantu rumah berkenaan didera serta sebagainya. Saya minta sesiapa terutama jiran mangsa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut tampil membantu kami,” katanya.

Beliau berkata ibu kepada 2 beradik ditahan semalam yang juga majikan pembantu rumah itu kini direman 7 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Katanya wanita berumur 60 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pagi ini manakala dua anaknya bekerja sebagai jurujual yang tamat reman esok akan disambung reman lagi bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan kes tersebut.

Sementara itu, wakil Konsulat Indonesia di Pulau Pinang Neni Kurniati berkata mayat Adelina masih ditempatkan di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya kerana polis masih menjalankan beberapa siasatan dan dokumentasi.

“Saya dimaklumkan mayat Adelina kemungkinan hanya akan diserahkan kepada kami (Konsulat Indonesia di Pulau Pinang) dalam 2 atau 3 hari lagi sebelum dihantar pulang ke kampung halamannya. Pihak kami di Indonesia juga masih mencari keluarga mangsa,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.