BREAKING NEWS

Friday, 9 February 2018

Kes saman projek terowong laut Oktober depan



9 FEB: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menetapkan Oktober depan untuk perbicaraan kes saman fitnah difailkan Konsortium Zenith-BUCG Sdn Bhd terhadap Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan.
Hakim Datuk Rosilah Yop membuat keputusan itu dalam kamarnya hari ini dan memutuskan lima hari perbicaraan yang bermula 29 Oktober sehingga 2 November.
Seramai 10 saksi akan dipanggil termasuk dua menteri persekutuan, merangkumi Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kerja Raya.
“Senarai saksi yang akan dipanggil belum diputuskan dan ia bergantung kepada Datuk Huan,” kata peguam Cheng Guan (foto), Datuk Baljit Singh, di perkarangan mahkamah di Georgetown hari ini.
Baljit dan Low Joo Hean mewakili Huan manakala Mohd Shahrul Fazli dan Mohd Haziq Razali mewakili Konsortium Zenith-BUCG.
Konsorium Zenith-BUCG, syarikat yang diberi kontrak projek RM6.3 bilion oleh kerajaan Pulau Pinang membabitkan projek terowong dasar laut dan tiga projek jalan, memfailkan saman ke atas Cheng Guan pada 11 Ogos 2016.
Syarikat itu turut menamakan syarikat Utusan Melayu (M) Bhd sebagai defendan dan memfailkan injunksi bagi menghalang Cheng Guan membuat kenyataan berhubung projek itu.
Cheng Guan dilaporkan pernah mendakwa jumlah RM208.8 juta yang dibayar kerajaan negeri bagi tujuan kajian kejuruteraan projek itu adalah antara lapan peratus dan 11 peratus daripada kos sebenar tiga projek jalan sepanjang 20.3 kilometer.
Beliau mendakwa tindakan itu bertentangan dengan panduan bayaran dikeluarkan Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Jurutera Malaysia.


 
Copyright © 2014 PenangKini.