BREAKING NEWS

Tuesday, 27 February 2018

Keuntungan FGV Bukti Ia Diurus Dengan Baik - Shahrir

Screen Shot 2018-02-25 at 11.13.43 AM.png

Peningkatan keuntungan yang berjaya direkodkan oleh Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) tahun lepas membuktikan syarikat itu berada dalam kedudukan yang kukuh dan diurus dengan baik selari dengan peranan penubuhannya.



Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Abd Samad berkata keuntungan berkenaan telah memakbulkan impian setiap warga Felda yang memiliki pegangan saham dalam FGV, termasuk warga peneroka yang turut memiliki pegangan saham dalam entiti perniagaan berkenaan.



"Di sini kita dapat lihat terdapatnya perbezaan fungsi iaitu FELDA sebagai agensi kerajaan manakala FGV pula entiti perniagaan yang memberi fokus mencari keuntungan dan membawa pulangan kepada pemegang sahamnya seperti FELDA dan warga peneroka.



"Pengerusinya, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid serta ahli lembaganya berjaya mengembalikan peranan FGV sebagai entiti perniagaan menerusi peningkatan keuntungan direkodkan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Angkatan Tentera semalam.


Shahrir juga menegaskan bahawa pegangan saham dalam syarikat berkenaan tidak merugikan mana-mana pihak seperti yang sering dilontarkan oleh pihak tertentu yang berniat untuk menjatuhkan FGV.



Menurutnya perkembangan positif itu diharap dapat terus diperkukuhkan dengan pelbagai usaha dan sokongan daripada kerajaan serta FELDA, terutama dalam sektor perladangan.



"Mereka (pembangkang) hanya tahu mencari salah. Akhirnya FGV terus untung secara berterusan dan setiap tahun juga dapat bayar dividen dan saya yakin bahawa Felda sudah pulih kepada asal dan akan terus diperkasa," tambahnya.



Semalam, FGV mengumumkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM417 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2017, iaitu peningkatan 60 peratus berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM260 juta pada 2016.



Dalam satu kenyataan, syarikat perladangan itu berkata peningkatan tersebut susulan prestasi lebih baik pada sektor perladangan serta logistik dan lain-lain (LO).
 
Copyright © 2014 PenangKini.