BREAKING NEWS

Friday, 23 February 2018

Keyakinan Terhadap BN Semakin Tinggi

KUALA LUMPUR: Kerajaan Barisan Nasional (BN) diramal terus kekal berkuasa walaupun ada pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Malah, pertembungan tiga penjuru itu satu kelebihan kepada BN terutama di kawasan majoriti Melayu.
Perbincangan Meja Bulat Pra PRU-14: BN kekal atau…?? merumuskan pertembungan tiga penjuru itu juga satu yang lebih mudah untuk parti itu berbanding pertandingan dua penjuru pada PRU-13.
Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Seri Prof Dr Mohamad Mustapa Ishak, berkata analisis daripada kajian yang dijalankan penyelidik universiti tempatan yang pakar mengenai pilihan raya meramalkan UMNO/BN dapat mengekalkan status quo terutama di kawasan majoriti Melayu.
“Kajian dijalankan di kawasan bandar, luar bandar dan pinggir bandar menunjukkan keputusan berpihak kepada BN kecuali di beberapa Parlimen yang kubu kuat parti tertentu,” katanya ketika merumuskan perbincangan meja bulat anjuran MPN di Hotel Istana di sini, hari ini.
Turut hadir merumuskan perbincangan itu, Ketua Eksekutif MPN, Datuk Prof Raduan Che Ros dan Profesor Ulung, Datuk Dr Prof Shamsul Amri Baharuddin.
Mohamad Mustapa berkata, analisis juga mendapati pertembungan tiga penjuru menyebabkan undi UMNO bertambah kerana undi untuk pembangkang terbahagi dua.
Bagaimanapun, katanya, semuanya bergantung kepada calon, manifesto parti dan isu semasa di kawasan masing-masing.
“Turut dibangkitkan mengenai undi golongan muda dan pengundi atas pagar yang menjadi penentu kepada kemenangan di sesetengah kerusi.
“Jadi, semua parti politik jangan pandang rendah pengundi muda dan atas pagar,” katanya.
Sementara itu, Shamsul Amri berkata, pembentukan kerajaan campuran buat kali pertama dibangkitkan yang menunjukkan kematangan parti politik tanah air.
“Bagi saya kerajaan campuran hanya boleh terbentuk pada pasca PRU-14 yang bergantung kepada keputusan diperoleh daripada pertembungan tiga penjuru itu,” katanya.
Beliau berkata, jika BN dapat bertahan dengan 40 peratus kerusi dicampur kerusi di Sabah Sarawak, parti itu terus bertahan.-Berita Harian
 
Copyright © 2014 PenangKini.