BREAKING NEWS

Wednesday, 21 February 2018

KPDNKK serbu stor tong gas


BUKIT MERTAJAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang membongkar kegiatan memindahkan gas petroleum cecair (LPG) secara haram di sebuah stor di Jalan Siram, Butterworth, Seberang Perai Utara, petang kelmarin.

Pengarah KPDNKK negeri, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, serbuan kira-kira jam 4.45 petang itu berjaya merampas sebanyak 190 unit silinder LPG dan sebuah lori.

Menurutnya, serbuan membabitkan sepasukan sembilan pegawai penguat kuasa KPDNKK dilakukan hasil risikan dan intipan selama dua minggu setelah mendapati stor berkenaan digunakan untuk memindahkan LPG seberat 14kg yang diberikan subsidi, secara manual ke dalam LPG 50kg.

“Hasil risikan kita dapati sindiket ini telah menjalankan aktiviti memindahkan LPG dan disyaki beroperasi secara haram sejak lebih sebulan lalu.

“Dalam pemeriksaan itu, sebanyak 42 unit silinder 50kg, 125 silinder 14kg, 20 silinder 12kg, tiga silinder L10kg, 39 paip penyambung dan sebuah lori dirampas,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Turut ditahan, seorang pekerja lelaki warga Myanmar berusia 30-an yang mempunyai dokumen pekerjaan lengkap.

Beliau berkata, pihaknya turut mengambil keterangan pemilik stor berusia 31 tahun yang mengaku telah menjalankan operasi itu secara haram sejak lebih sebulan lalu.

Kesemua yang dirampas dianggarkan bernilai hampir RM50,000.

“Siasatan lanjut mendapati stor berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di premis tidak dilesenkan.

“Siasatan juga akan dilakukan mengikut Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan bagi orang perseorangan, boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali,” katanya.

 
Copyright © 2014 PenangKini.