BREAKING NEWS

Friday, 23 February 2018

Kronologi skandal tanah Ijok,mana hilangnya lagi RM758.6 juta?



Jika anda gelar mereka sebagai kroni, jadi mengapa mereka diselamatkan?
Disebalik tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berdiam diri mengenai dakwaan skandal RM1.18 bilion terhadap tanah Ijok yang diutarakan Pengarah BNSC, Datuk Abdul Rahman Dahlan seminggu lalu, hanya pembantu Menteri Besar memberi reaksi.
Antaranya termasuk Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong, Setiausaha Politik Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei dan Penyelaras Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dari Parti Amanah Negara (PAN).
Bagaimanapun, jawapan mereka tidak masuk akal dan dilihat hanya cubaan rapuh mereka untuk menutup isu sebenar.
Contohnya, Shao Loong melabelkan dua syarikat swasta terbabit sebagai syarikat kroni, di mana mereka telah gagal melaksanakan projek dijanjikan, dan kemudiannya mempertahankan kerajaan Selangor yang bertindak menyerahkan semula tanah kepada dua syarikat kroni yang gagal ini.
Malah, Shuhaimi Shafiei juga mendakwa ia adalah satu keputusan menang-menang, untuk tidak meneruskan kes di Mahkamah Persekutuan dan membuat penyelesaian dengan syarikat terbabit yang dilabelkan sebagai ‘kroni BN’.
Maka, jika kedua-dua Shao Loong dan Shuhaimi berkata syarikat terbabit adalah ‘kroni BN’ yang wujud ketika era pentadbiran Tun Dr Mahathir antara 1998-2000, mengapa pula kerajaan Selangor mahu selamatkan mereka yang sudah jelas gagal dan kini dibenarkan ‘menang-menang,’ malah sangat ‘menang’ berbanding peneroka melalui keuntungan atas angin.
Lebih mengejutkan ialah kenyataan dari Dr Dzulkefly dari PAN yang memperincikan bagaimana wang RM1.18 bilion dibahagikan:
- Pampasan kepada 981 peneroka = RM300 juta
- Bayaran kepada bank dan pemiutang = RM670 juta
- Disimpan oleh dua syarikat ‘kroni’ = RM210 juta
Pengiraan oleh BNSC bagi pampasan kepada peneroka sebelum ini lebih murah hati iaitu RM421 juta berbanding jumlah RM300 juta sahaja yang didedahkan Dr Dzulkefly, iaitu lebih rendah daripada keseluruhan jumlah RM1.18 bilion manakala RM880 juta diperolehi dua syarikat ‘kroni’ untuk melangsaikan hutang mereka kepada bank, pemberi pinjaman dan turut menyimpan bonus RM210 juta untuk syarikat mereka.
Ini bermakna, daripada harga efektif RM12.34 bagi setiap kaki persegi yang dibayar untuk tanah peneroka oleh sebuah syarikat senarai awam kepada dua syarikat ‘kroni’ di mana penyokong tegar Dr Mahathir, Khairuddin Abu Hassan pernah memegang jawatan Pengarah Eksekutif, peneroka di Ijok hanya dibayar RM3.12 bagi setiap kaki persegi bagi tanah mereka, manakala bakinya masuk ke kantung dua syarikat terbabit.
Dalam keadaan tergesa-gesa mereka untuk menyalahkan BN bagi skandal ini, ketiga-tiga individu ini turut tidak mengendahkan satu fakta penting, iaitu kerajaan BN yang memerintah Selangor sebelum ini telah memberikan tanah itu kepada peneroka.
Ini satu fakta yang perlu mereka akui.
Apapun, cubaan rapuh ketiga-tiga individu ini untuk memberi penjelasan membuka lebih banyak pekung dan persoalan seperti berikut:
a). Adakah anda merasakan adalah adil kepada peneroka yang diberi pampasan pada harga RM3.12 bagi setiap kaki persegi bagi tanah mereka, dinilai mengikut harga 18 tahun lalu, memandangkan syarikat senarai awam itu membayar RM12.34 bagi setiap kaki persegi kepada dua syarikat ‘kroni’ dan ketika hakikatnya bahawa pasaran tanah pertanian di Ijok ketika ini dijual pada harga antara RM30 hingga RM65 bagi setiap kaki persegi?
b). Jika anda mendakwa mereka adalah syarikat kroni dari era Dr Mahathir, mengapa anda masih mahu menyelamatkan mereka dengan membenarkan mereka memperoleh RM810 juta daripada RM1.18 bilion yang dibayar itu?
c). Apakah harga yang boleh diperolehi jika kerajaan Selangor menjual tanah berkenaan melalui tender terbuka?
d). Syarikat senarai awam itu telah mengumumkan secara terbua projek perumahan ke atas tanah itu mempunyai Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sekurang-kurangnya pada RM15 bilion. Bukankah lebih baik jika Kerajaan Selangor meneruskan perancangan dibuat Tan Sri Khalid Ibrahim yang sudah merangka satu model di mana kerajaan Selangor akan memajukan tanah berkenaan atau melalui perkongsian, yang akan memanfaatkan peneroka dan kerajaan Selangor sendiri?
e). Amat jelas, terdapat model alternatif.
Jika alasan Azmin adalah bagi memastikan peneroka memperolehi pampasan dengan lebih cepat, mengapa kerajaan Selangor tidak menggunakan rizab RM3 bilion bagi membayar RM300 juta terus kepada peneroka terlibat?
Pada masa sama, kerajaan Selangor sepatutnya meneruskan kes di Mahkamah Persekutuan bagi memiliki terus tanah berkenaan yang berjaya dirampas dari dua syarikat berkenaan ketika pentadbiran Tan Sri Khalid, memandangkan kerajaan Selangor sudah memenangi kes berkenan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
Kerajaan Selangor juga boleh menjual tanah berkenaan secara terus kepada syarikat senarai awam berkenaan pada harga RM1.18 bilion dan memperolehi RM810 juta untuk kerajaan Selangor berbanding keuntungan atas angin bagi dua syarikat terbabit.
Atau, mereka boleh melaksanakan ketelusan dengan menjual tanah berkenaan melalui tender terbuka bagi mendapatkan harga lebih tinggi.
f). Ketiga-tiga individu ini juga secara rapuh mendakwa kerajaan Selangor akan menanggung hutang ratusan juta Ringgit kepada bank. Adakah ketiga-tiga individu ini boleh menjelaskan secara terperinci, bagaimana pula kerajaan Selangor terpaksa menanggung hutang yang diambil oleh dua syarikat terbabit dan berapa jumlah tepat ratusan juta Ringgit ini?
Jika tanah berkenaan sudah dilucuthak berdasarkan kepada perlanggaran Kod Tanah Negara oleh kedua syarikat terbabit, tidakkah tanah berkenaan bebas dari sebarang bebanan?
Perlu juga dinyatakan di sini, penghakiman bertulis bagi kedua-dua kes dimenangi kerajaan Selangor di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan langsung tidak menyebut kerajaan Selangor bertanggungjawab terhadap pinjaman bank yang dibuat oleh kedua-dua syarikat ‘kroni’ berkenaan.
g). Demi ketelusan, adakah kerajaan Selangor akan mendedahkan perjanjian penyelesaian akhir dengan dua syarikat terbabit?
Eric See-To.
Timbalan Pengarah,
Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BNSC)
 
Copyright © 2014 PenangKini.