BREAKING NEWS

Thursday, 15 February 2018

Beri ruang SPRM siasat projek terowong dasar laut


KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil 2 ahli Exco kerajaan negeri Pulau Pinang untuk membantu siasatan lanjut berhubung projek terowong dasar laut di negeri itu.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata setakat ini tiada tangkapan dibuat.

“SPRM berharap semua pihak memberi ruang untuk kami menjalankan siasatan terperinci berhubung projek tersebut. Semalam, seorang ahli Exco dan hari ini pula seorang lagi ahli Exco dipanggil.

“SPRM bertindak profesional. Kita panggil saksi-saksi itu untuk membantu siasatan… kena faham ni, ada asasnya, kita minta mereka datang bantu siasatan… jadi tak perlulah saya nak jawab kenapa saksi tertentu dipanggil. Kalau saya jawab, susah pula. Buat masa sekarang, 2 ahli Exco itu dipanggil untuk membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis lafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah pentadbiran kerajaan negeri Terengganu dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman hari ini.

Semalam, ahli Exco Kerja Raya Pulau Pinang, Lim Hock Seng dipanggil SPRM manakala hari ini, Ketua Menteri II, Dr P Ramasamy yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan dan Sumber Manusia Sains, Teknologi dan Inovasi negeri pula dipanggil SPRM untuk membantu siasatan projek yang dianggarkan bernilai RM3.6 bilion itu.

Sementara itu, ditanya sama ada terdapat kakitangan kerajaan yang masih melakukan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa walaupun menandatangani IBR, beliau berkata perkara itu masih berlaku namun melibatkan sebilangan kecil golongan tersebut.
 
Copyright © 2014 PenangKini.