BREAKING NEWS

Sunday, 25 February 2018

LIM GUAN ENG CUBA ALIH PERHATIAN #SPRM


GEORGETOWN: Ketua Menteri, Lim Guan Eng, diminta berhenti mempolitikkan isu penjualan tanah di Mukim 9, Kampung Tok Keramat, Nibong Tebal, dan mengajukan perkara berbangkit mengenainya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman, berkata penjualan tanah itu kini disiasat SPRM susulan laporan dibuat EXCO Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin, pada April 2016.
Katanya, tindakan Guan Eng itu disifatkan sebagai usaha terdesak mengalih perhatian rakyat yang kini bertumpu kepada penyiasatan SPRM ke atas kontroversi projek terowong dasar laut yang dianggar bernilai RM6.3 bilion, sejak bulan lalu.
"SPRM bukan di bawah kawal selia UMNO dan Pengerusi UMNO Pulau Pinang tidak bertanggungjawab ke atas siasatan yang dilakukan oleh suruhanjaya berkenaan.
"Guan Eng tidak perlu menyindir SPRM lembab melakukan siasatan dan menuduh suruhanjaya itu di bawah telunjuk UMNO hanya kerana mengheret beliau ke mahkamah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Khamis lalu, Guan Eng mendesak Zainal Abidin memperjelaskan penjualan tanah seluas 3.46 hektar di Mukim 9, Kampung Tok Keramat, Nibong Tebal, dekat daerah Seberang Perai Selatan (SPS) oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA).
Setiausaha Agung DAP itu juga dilapor membangkitkan persoalan mengenai perkara sama dua kali di Dewan Rakyat dan dijawab oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, sebelum ini.
Zainal Abidin berkata, tindakan Guan Eng itu menggambarkan beliau seolah-olah masih tidak berpuas hati terhadap Pengerusi PERDA merangkap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabuddin Yahaya, kerana membangkitkan isu pembelian banglo mewah beliau pada harga murah di Dewan Rakyat, dua tahun lalu.
"Perbicaraan dua kes rasuah Guan Eng akan bermula 26 Mac ini. Saya sekali lagi meminta beliau bercuti sepanjang perbicaraan berlangsung dan mencontohi Ketua Pegawai Eksekutif JKP Sdn Bhd yang mengambil cuti selepas diminta berbuat demikian.
"Proses keadilan akan terganggu jika Guan Eng tidak bercuti ketika perbicaraan kes rasuahnya berlangsung kerana kedudukan sebagai Ketua Eksekutif kerajaan negeri akan memberi tekanan kepada pegawai kerajaan negeri yang akan dipanggil sebagai saksi pihak pendakwaan," katanya.
BERITA HARIAN
 
Copyright © 2014 PenangKini.