BREAKING NEWS

Wednesday, 14 February 2018

Lim Hock Seng beri keterangan hampir 12 jam kepada SPRM

GEORGE TOWN: Exco Pulau Pinang, Lim Hock Seng menghabiskan hampir 12 jam dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini untuk membantu siasatan berhubung projek terowong dasar laut bernilai RM15 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya negeri itu berkata, selepas diberitahu pegawai SPRM mungkin “memerlukan beberapa hari” untuk mengambil keterangannya, beliau meminta mereka menyelesaikannya hari ini kerana beliau sibuk untuk beberapa hari berikutnya.

“Itu sebabnya saya mengambil lebih 12 jam untuk (memberi) keterangan saya. Saya bukan disoal siasat, saya memberi keterangan sebagai saksi,” katanya kepada wartawan malam ini.

Difahamkan, Lim dimaklumkan semalam untuk hadir sebagai saksi.

Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy dijangka hadir untuk memberi keterangannya sebagai saksi esok pagi.


Terdahulu, Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan pihaknya memanggil 2 exco tertinggi negeri itu untuk memberi keterangan.

Setakat ini, katanya, pasukan penyiasat sudah mengambil keterangan sekurang-kurangnya 100 saksi bagi melengkapkan kertas siasatan kes “sangat teknikal” itu.

Sehingga kini, 5 yang ditahan sudah dibebaskan kemudian.

Tangkapan terakhir membabitkan ketua eksekutif dan seorang perunding kejuruteraan yang dipercayai terlibat dalam penyediaan dokumen tuntutan palsu bagi kajian kebolehlaksanaan 3 jalan utama dan terowong di Pulau Pinang bernilai kira-kira RM305 juta.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2km itu menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan 3 jalan utama, dianugerahkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd yang dijadualkan bermula 2023.

Projek itu adalah sebahagian Pelan Induk Pengangkutan (PIP) kerajaan Pulau Pinang bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas. FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.