BREAKING NEWS

Wednesday, 21 February 2018

Malaysia tidak akan lindungi pendera pekerja asing, kata Zahid

\
KUALA LUMPUR: Duta besar Malaysia di Jakarta diarah menemui menteri tenaga kerja Indonesia, susulan cadangan menghentikan penghantaran pembantu rumah republik itu ke negara ini, selepas kematian seorang amah di Pulau Pinang, baru-baru ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau sudah menghubungi Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang memaklumkan akan menemui Muhammad Hanif Dhakiri, hari ini.
“Saya telah menghubungi duta besar di Jakarta, Datuk Seri Zahrain dan beliau hari ini akan mengadakan perbincangan dengan menteri tenaga kerja Indonesia.
“Saya telah menyatakan 4 perkara kepada Zahrain, di mana pertama, kes-kes penderaan yang berlaku merupakan kes terpencil.
“Kedua, kerajaan Malaysia dan pasukan penguatkuasaan tidak pernah melindungi atau melakukan ‘cover up’ terhadap isu penderaan, bukan hanya kepada pembantu rumah, tapi pekerja asing (lain juga).
“Ketiga, kita minta MOU (memorandum persefahaman pekerja asing) yang telah tamat pada 2016 dikemas kinikan dan rundingan lanjut harus dilakukan antara menteri 2 negara.
“Keempat, saya telah meminta Zahrain beritahu komitmen Malaysia untuk terus jalin kerjasama 2 negara harus diterima dan lapang dada dan hati terbuka sebab kita saling memerlukan.”Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pra pelancaran sempena penganjuran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2018 (DSA 2018) dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan Asia (Natsec Asia) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa (Mitec) hari ini.
Pembantu rumah warga Indonesia, Adelina Lisao, 26, yang cedera parah, termasuk luka dan lebam di badan, mati ketika dirawat di Hospital Bukit Mertajam pada 11 Februari lalu.
Adelina ditemui kira-kira 8 malam 10 Februari lalu, selepas polis menerima laporan daripada pembantu Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Lim. Susulan itu, 2 beradik berusia 36 dan 39 tahun bersama ibu mereka berusia 60 tahun direman selama seminggu bagi membantu siasatan kes itu.
Sabtu lalu, portal berita Indonesia melaporkan Jakarta bercadang membekukan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia, susulan kematian Adelina yang dipercayai didera majikannya.
Susulan itu, Zahid dilaporkan berkata, tindakan drastik Indonesia menghentikan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia hanya akan merugikan kedua-dua negara.
Menteri dalam negeri itu berkata, Malaysia tidak akan melindungi atau menyembunyikan sebarang fakta dalam kes Adelina dan peratusan penderaan pembantu rumah di negara ini terendah berbanding negara lain.
“Pendakwaan akan dilakukan dan pengadilan akan dibuat di Malaysia. Indonesia perlu yakin negara ini merupakan sebuah negara yang berbeza dengan negara lain (berhubung kes penderaan dan kematian pembantu rumah),” katanya pada Sabtu lalu.
Isu kebajikan pembantu rumah warga Indonesia antara isu yang sering berbangkit dalam hubungan antara Jakarta dan Putrajaya.
Indonesia pernah membekukan penghantaran pekerja sektor tidak formal ke Malaysia pada 2009 berikutan beberapa kes penderaan rakyatnya yang bekerja sebagai pembantu rumah oleh majikan tempatan.
Jakarta menarik balik moratorium pada 2011 apabila Malaysia dan Indonesia bersetuju melaksanakan pindaan memorandum persefahaman mengenai pengambilan dan penempatan pembantu rumah Indonesia, yang mengatur hal berkaitan upah minimum, penetapan cuti sehari, pasport dan tanggungjawab agensi pembantu rumah.
 
Copyright © 2014 PenangKini.