BREAKING NEWS

Monday, 19 February 2018

Masjid Jamek Tasek Gelugor anjur sambutan Tahun Baru Cina

masjid-jamek-cnyTASEK GELUGOR: Masjid Jamek Tasek Gelugor buat julung kali mengambil inisiatif menganjurkan sambutan Tahun Baru Cina di perkarangan masjid bagi meraikan masyarakat Tionghua.


Pengerusi Khairul Anuar Musa berkata tujuan sambutan diadakan antaranya untuk membuka minda bahawa masjid bukan untuk orang Islam semata-mata malah penganut agama lain juga boleh berhimpun.

“Sambutan ini dirancang sejak bulan lepas dan pada 11 Februari lepas jawatankuasa masjid mula mengedar jemputan kepada masyarakat Cina yang tinggal berhampiran masjid. Kami menerima maklum balas yang baik malah ada yang mahu memberikan sumbangan.

“Alhamdulillah apabila masyarakat Cina memenuhi jemputan kami dan hadir meraikan perayaan ini dengan penuh semangat muhibah,” katanya ketika ditemui selepas sambutan itu hari ini.

Kira-kira 100 masyarakat Cina yang tinggal berhampiran Masjid Jamek Tasek Gelugor hadir ke majlis yang diadakan selepas solat Asar. Pihak jawatankuasa masjid menyediakan pelbagai makanan serta program bagi memberi pendedahan berhubung peranan masjid kepada masyarakat.

Khairul Anuar berkata masjid boleh dijadikan sebagai tempat perhimpunan masyarakat berbilang kaum dan agama selagi ia tidak bercanggah dengan perintah Allah.

“Kami turut menjemput beberapa mualaf daripada masyarakat Cina yang tinggal di kawasan Tasek Gelugor bagi bersama-sama meraikan sambutan itu malah apa yang lebih gembira mereka membawa anggota keluarga yang berlainan agama sekali,” katanya.

Seorang mualaf, Ooi Chooi Beng, 36, sebelum ini beranggapan masjid hanya untuk orang Islam sahaja dan “tidak berani” menghampiri masjid walaupun berkeinginan untuk masuk ke dalamnya.

“Alhamdulillah sejak menjadi saudara baharu lebih kurang 6 bulan lepas, banyak yang saya belajar tentang fungsi masjid dan saya juga berharap program pada hari ini akan menjadi titik tolak kepada program lain untuk kita mencari keredhaan Allah,” katanya.

Beliau teruja ibu dan ayahnya yang masih beragama Buddha turut hadir untuk sama-sama meraikan sambutan Tahun Baru Cina yang dianjurkan masjid berkenaan.

Pengunjung, Tan Chooi Tit, 51, berkata beliau dan keluarga terharu apabila menerima jemputan kerana selama ini tidak pernah ada majlis seperti itu mana-mana masjid.

Katanya inisiatif Masjid Jamek Tasek Gelugor perlu dipuji kerana ia menghantar pesanan positif kepada rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Saya berharap agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang supaya masyarakat dapat saling mengenali dan menghormati satu sama lain. Sambutan itu bukan hanya bagi meraikan perayaan kami semata-mata malah merapatkan hubungan antara kaum,” kata penyelia kilang itu.

Seorang warga emas, Ng Ah Lam, 70, sangat teruja kerana dapat bersama-sama dengan masyarakat Melayu meraikan Tahun Baru Cina di perkarangan masjid buat kali pertama.

“Saya tinggal di sini sudah lebih 50 tahun, boleh dikatakan setiap hari saya mengayuh basikal melalui jalan di depan masjid, selama ini saya ingat tidak boleh masuk.

“Rupanya kami yang bukan Islam boleh saja datang ke masjid, hari ini juga saya turut diberi pendedahan tentang peranan masjid serta serba sedikit mengenai agama Islam. Saya sekeluarga seronok,” katanya.

FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.