BREAKING NEWS

Monday, 5 February 2018

Pakatan Harapan Pulau Pinang Masih GAGAL Capai Kata Sepakat Pembahagian Kerusi DUN

Pakatan Harapan Pulau Pinang masih gagal mencapai kata sepakat dalam pengagihan kerusi DUN di antara empat parti komponen dalam gabungan itu.

Ia menyebabkan tiada pengumuman dibuat berhubung keputusan pengagihan kerusi dalam Konvensyen Pakatan Harapan Pulau Pinang yang berlangsung di Seberang Jaya, malam tadi. Sebaliknya, ahli-ahli pembangkang yang hadir konvensyen itu diingatkan supaya bersetuju dengan keputusan pembahagian kerusi DUN yang dibuat pucuk pimpinan parti.

Malah, Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam ucapannya selama setengah jam menjelaskan secara panjang lebar bahawa setiap parti tidak harus mengutamakan kepentingan parti sendiri, sebaliknya menerima pengagihan yang diputusan oleh pimpinan tertinggi.

Beliau juga mengaku bahawa Pakatan Harapan akan pasti gagal dalam usahanya untuk menang Pilihanraya Umum ke-14 jika parti komponen tidak bersepakat untuk menyokong calon yang dipilih dari parti komponen lain.

Difahamkan, sebanyak 11 kerusi DUN yang merupakan majoriti pengundi Melayu ketika ini menjadi rebutan antara PAN; Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR ketika ini.

Jika berdasarkan andaian PAN akan bertanding di semua kerusi yang ditinggalkan Pas iaitu lima kerusi, ini bermakna PPBM dan PKR perlu berkongsi enam lagi kerusi dengan majoriti Melayu.


Bagaimanapun, difahamkan PPBM menuntut lebih banyak kerusi sekali gus mungkin menyebabkan PKR terpaksa melepaskan 10 kerusi sedia ada mereka iaitu sesuatu yang sukar dipersetujui pucuk pimpinan PKR ketika ini.

Dalam konvensyen berkenaan Pakatan Harapan hanya mengumumkan barisan kepimpinannya semalam dengan menamakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai pengerusi negeri. Empat pemimpin dinamakan sebagai Naib Pengerusi: Mansor Othman (PKR), Chow Kon Yeow (DAP), Mujahid Yusof (AMANAH) dan Marzuki Yahya (PPBM).



 
Copyright © 2014 PenangKini.