BREAKING NEWS

Thursday, 22 February 2018

PKIM dakwa 10,000 jadi mangsa dana usahawan dipercayai digunakan untuk tujuan PRU-14


PULAU PINANG 21 Feb. - Kira-kira 10,000 individu termasuk ahli perniagaan serta ahli keluarga mereka dipercayai menjadi mangsa satu sindiket yang bernaung atas nama dana usahawan persendirian di sini.

Difahamkan, sindiket yang ber­operasi sejak lebih setahun la­lu itu bergerak aktif di seluruh ne­gara termasuk di negeri ini.

Presiden Persatuan Kebajikan Insan Mulia (PKIM), Aminah Abdullah berkata, nilai kerugian yang dialami mangsa pula agak tinggi dan ada yang mencecah hingga jutaan ringgit.

“Sehubungan itu, kami mahu mendapatkan kepastian sama ada dana tersebut benar-benar wujud atau tidak lebih daripada satu aktiviti penipuan untuk mengaut keuntungan semata-mata.

“Dalam hal ini, mungkin juga terdapat elemen salah guna kuasa (politik wang) yang bertujuan meraih undi pihak tertentu untuk mendapatkan kemenangan dalam pilihan raya ini,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri untuk menyerahkan dokumen setebal 38 muka surat berkaitan Keraguan Isu Pemberian Dana Usahawan Melibatkan Parti Politik di Malaysia Untuk Tujuan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kepada Pengarah SPRM negeri, Datuk Abd. Aziz Aban.

Turut serta dalam penyerahan dokumen itu ialah kira-kira 50 ahli persatuan terbabit termasuk beberapa individu yang mendakwa menjadi mangsa sindiket berkenaan.

Terdahulu, PKIM menyerah­kan dokumen yang sama kepada Ketua Polis negeri, Datuk A. Thaiveegan yang diwakili Pegawai Turus Pentadbiran Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Superintenden Rizal Abd. Rahman Sidek.

Mengulas lanjut, Aminah memberitahu, dana usahawan itu dipercayai diuruskan oleh sebuah yayasan yang diterajui seorang individu bergelar 'Datuk Paduka'.

“Kami juga difahamkan, dana ini melibatkan beberapa orang kenamaan daripada sebuah pertubuhan atau parti politik dan akan dikeluarkan melalui satu bank tempatan sebelum PRU-14.

“Kami berharap siasatan ini dapat dilakukan segera iaitu dalam tempoh tiga hari atau selewat-lewatnya minggu depan kerana melibatkan kepentingan rakyat,” ujarnya.

UTUSAN
 
Copyright © 2014 PenangKini.