BREAKING NEWS

Tuesday, 6 February 2018

Program Jualan Murah… Pembangkang Kecam BN Kerana Mereka Tidak Mampu Buat – Zaidi


PERMATANG PAUH, 6 Feb – Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said membidas pembangkang yang menggunakan isu program jualan murah barangan keperluan yang sedang giat dilakukan oleh UMNO di seluruh negeri adalah kerana pilihan raya sudah semakin hampir.
Jelas beliau, program tersebut sebenarnya bertujuan membuktikan kepada rakyat barang keperluan tidaklah begitu mahal namun kerana peranan oleh orang tengah atau pemborong-pemborong dan pekedai yang tidak bertanggungjawab yang memainkan kononnya GST menyebabkan harga barang tinggi telah menyebabkan rakyat tertipu dan akhirnya menyalahkan kerajaan.
“Sebenarnya apabila kita mengadakan kempen sebegini, rakyat boleh tahu harga tidaklah begitu tinggi dan kita telah buktikan bahawa kita boleh menjual barang-barang ini dengan harga perpatutan.
“Usaha ini bukan kerana pilihan raya semakin dekat tetapi ini adalah usaha berterusan yang dibuat oleh kerajaan BN selama ini untuk membuktikan kepada rakyat bahawa kita adalah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.
“Pembangkang sepatutnya mereka tidak boleh menggunakan isu ini sebagai program kononnya kerana pilihan raya sudah dekat tetapi mereka sepatutnya mengambil langkah yang sama untuk membantuk rakyat bukan semata-mata mengkritik, mencerca atau memandang rendah terhadap usaha yang dilakukan oleh UMNO untuk membantu rakyat selama ini,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Justeru jelas Zaidi, rakyat boleh memilih mana yang lebih baik untuk mereka sama ada memilih sebuah parti yang bercakap untuk membantu rakyat dan melaksanakan tanggungjawab tersebut ataupun parti yang bercakap hanya memburukkan pihak yang lain tetapi tidak melakukan sesuatu untuk membantu rakyat.
“Jadi, ini adalah salah satu usaha yang akan kita lakukan secara berterusan bagi membuktikan kepada rakyat bahawa segala tuduhan pembangkang itu adalah tidak benar sama sekali.
“Jika dilihat dari rekod, kita telah membantu rakyat sejak daripada dulu lagi terutama selepas era 2013. Walaupun di Permatang Pauh ini kita kalah tetapi kita tetap memperbanyakkan program bantu rakyat.
“Selain itu, program sebegini juga adalah salah satu daripada progam yang dapat merapatkan hubungan antara pemimpin setempat dengan rakayat,” tambah beliau lagi. 
 
Copyright © 2014 PenangKini.