BREAKING NEWS

Friday, 2 February 2018

Projek lebuh raya jejas rizab hutan

GEORGETOWN: GERAKAN Pulau Pinang hari ini, mendesak kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung rancangan pembinaan tiga projek lebuh raya berkembar, yang didakwa bakal menjejaskan kawasan hutan rizab seluas 3.3 hektar di negeri itu.

Pemangku Ketua Pemuda GERAKAN negeri, Jason Loo, berkata pihaknya difahamkan projek menerusi Pelan Induk Pengangkutan (PIP) itu turut membabitkan penerokaan kawasan Hutan Rizab Bukit Kerajaan dan Hutan Simpan Teluk Bahang.


"Adakah benar sejumlah 3.3 hektar tanah rizab hutan akan diceroboh bagi memberi laluan kepada projek lebuh raya berkembar itu.

"Difahamkan, jika projek itu tidak membabitkan kawasan hutan dan lereng bukit, ia tidak memerlukan penyediaan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

"Jadi, jelaslah projek lebuh raya berkenaan dan terowong dasar laut turut membabitkan kawasan hutan dan lereng bukit," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Jason berkata, rakyat berhak mengetahui situasi sebenar semua projek mega kerajaan DAP Pulau Pinang, susulan 'kehilangan' dua tanah bernilai RM208 juta yang ditukar milik sebagai bayaran kepada laporan EIA bagi tiga projek lebuh raya berkembar.

"Itu bukan tanah kerajaan negeri, itu tanah dan aset milik rakyat. Rakyat berhak tahu mengenai semua implikasi projek berkenaan," katanya.

Sementara itu, Jason turut mengecam kerajaan DAP Pulau Pinang yang didakwa mengamalkan prinsip pilih kasih dalam pelaksanaan Enakmen Kebebasan Maklumat negeri.

Katanya, beliau memohon memperoleh dan membaca salinan dokumen projek lebuh raya berkembar dan terowong dasar laut pada Jun lalu, namun permohonan itu ditolak.

"Tetapi Ketua Menteri, Lim Guan Eng baru-baru ini menunjukkan halaman pertama dan terakhir dokumen itu kepada media. a.

"Sekiranya beliau benar-benar telus, beliau perlu dedahkan dokumen itu kepada awam dan bukan hanya halaman tertentu saja," katanya.

Pada 2015, kerajaan DAP Pulau Pinang mengumumkan pelaksanaan pelbagai projek di bawah PIP merangkumi pembinaan kemudahan pengangkutan awam, lebuh raya berkembar dan projek pembinaan terowong dasar laut.

Pelan itu turut membabitkan pembinaan pulau buatan di selatan Pulau Pinang, yang masing-masing berkeluasan 809 hektar, 526 hektar dan 324 hektar bagi tujuan perindustrian, perumahan serta komersial untuk membiayai kos PIP. BH
 
Copyright © 2014 PenangKini.