BREAKING NEWS

Thursday, 8 February 2018

Rafizi Ramli bakal dibicara atas kes fitnah Tabung Haji

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dibicarakan atas tuduhan memfitnah Tabung Haji (TH) di laman Facebooknya 2 tahun lalu.

Keputusan itu dibuat beberapa jam selepas naib presiden PKR itu disabit bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam di bawah Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (Bafia).

Majistret Umzarul An Nur Umar hari ini menolak bantahan awal Rafizi bagi membatalkan kes fitnah jenayahnya atas dasar majistret tidak memeriksa aduan Ketua Pegawai Operasi TH, Datuk Rozaida Omar terhadap wakil rakyat itu.

Semalam, Gobind Singh Deo yang mewakili Rafizi mengemukakan bantahan awal sebelum perbicaraan bermula, dengan menyatakan majistret harus menjalankan pemeriksaan aduan itu di bawah Seksyen 133 Kanun Prosedur Jenayah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Abazafree Abbas berhujah peruntukan itu tidak terpakai dalam kes Rafizi kerana Seksyen 133 hanya boleh diguna pakai dalam kes saman persendirian.

Rafizi didakwa atas tuduhan pindaan fitnah jenayah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan tahun lepas.

Tuduhan itu dipinda selepas beliau mengadu ianya tidak jelas.

Dalam pertuduhan pindaan itu, Rafizi dituduh mendakwa rizab TH mengalami defisit untuk 2 tahun berturut-turut menyebabkan TH tidak mampu membayar semula pendeposit jika mereka semua mahu mengeluarkan simpanan serentak.

Beliau kemudian mendakwa keuntungan RM3.53 bilion diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom tidak mengambil kira kerugian akibat kejatuhan saham dan bon sekuriti TH dalam pelaburannya.


Satu lagi maklumat dalam pertuduhan itu berkaitan dakwaan Rafizi mengatakan TH membayar bonus yang jumlahnya melebihi pendapatannya pada 2012 dan 2014.

Rafizi sebelum ini mendakwa bonus lebihan 2012 itu diberikan sempena pilihan raya umum yang semakin hampir, sementara pembayaran pada 2014 disebabkan pihak berkuasa perlu meyakinkan orang ramai yang isu 1MDB tidak menjejaskan pasaran kewangan tempatan.

Menurut pertuduhan itu, Rafizi didakwa melakukan kesalahan tersebut di bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak pada 18 Februari 2016.

Jika didapati bersalah, beliau berdepan hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Selain Bafia, Rafizi turut disabit bersalah dan dihukum penjara 18 bulan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana mendedahkan laporan audit 1MDB pada satu sidang akhbar.

Rafizi tidak boleh bertanding pada PRU14, jika gagal mengetepikan sabitan OSA bersama hukuman penjara 18 bulan dan hukuman hari ini di bawah Bafia.

Perkara 48 (1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan ahli Parlimen akan hilang kelayakan selama 5 tahun, jika sabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara lebih setahun atau denda lebih RM2,000. FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.