BREAKING NEWS

Friday, 9 February 2018

Salahguna kuasa bukan jawapan, jangan pusing lagi Guan Eng




9 FEB: Lim Guan Eng tidak perlu mengalih isu terowong Pulau Pinang kepada pihak lain, termasuklah MCA.

Tegas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai beliau hanya perlu menjawab persoalan yang dikemukakan, bukan melenting seperti orang yang tidak profesional dengan menyatakan dirinya pula yang telah menyalahgunakan kuasa sebagai Menteri Pengangkutan untuk berjumpa dengan kontraktor utama syarikat terowong di Pulau Pinang iaitu Perbadanan Pembinaan Keretapi China (CRCC).

“Dia melenting sebab tak boleh nak jawab, bila dedahkan sesuatu yang benar dia tak boleh jawab, dia cuba elak dan tuduh pada orang lain. Ini yang saya kesal.

“Jawab sahaja soalan, jangan kritik orang lain, cakap saya salahguna kuasa itu bukan satu jawapan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Belt & Road 2.0 MCA di Jalan Ampang, Jumaat.

Perbadanan Pembinaan Keretapi China (CRCC) sebelum ini mengesahkan pihaknya tidak pernah menjadi pemegang saham bagi syarikat tujuan khas (SPV) bagi projek terowong dasar laut di Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion.

Syarikat itu juga mengesahkan bahawa tidak pernah memegang sebarang saham dalam syarikat induk SPV itu, Zenith Construction Sdn Bhd, atau tidak pernah terbabit secara langsung dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi projek terowong berkenaan, termasuk pembinaan tiga jalan utama di negeri itu.

Kenyataan mengesahkan perkara itu disampaikan kepada Tiong Lai menerusi pegawai kanan CRCC ketika lawatannya ke China sempena Persidangan Menteri Penerbangan Pertama Asia Pasifik Pertama dan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya di Beijing.

Susulan daripada itu Guan Eng telah mempersoal sejak bila Tiong Lai menjadi jurucakap kepada syarikat CRCC.

Malah Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut berkata yang Tiong Lai telah menyalahgunakan kuasa beliau sebagai Menteri Pengangkutan dalam isu tersebut. BNBCC

 
Copyright © 2014 PenangKini.