BREAKING NEWS

Wednesday, 21 February 2018

Semua perlu akur keputusan persempadanan semula - Zahid Hamidi

voter
KUALA LUMPUR: Timbalan perdana menteri menasihatkan semua pihak, termasuk pembangkang supaya akur dengan keputusan mahkamah berhubung cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga menteri dalam negeri percaya keputusan mahkamah itu turut mengambil kira beberapa garis panduan dan undang-undang ditetapkan.
“Kami kerajaan akur dengan sebarang keputusan yang dibuat dan parti politik (lain) harus akur dengan keputusan mahkamah sebagai mengikut perundangan dan garis panduan.
“Apa juga implikasi positif dan sebaliknya, kami mengambil ia dengan berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk mematuhi kaedah terbaik.
“Kalau kerajaan boleh patuh, semua pihak harus patuh dengan keputusan mahkamah itu, itu maksud saya,” katanya selepas merasmikan majlis pra pelancaran sempena penganjuran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2018 (DSA 2018) dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan Asia (Natsec Asia) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa (Mitec) hari ini.
Semalam, Mahkamah Persekutuan memutuskan cadangan SPR melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya tidak boleh dipinda dengan semakan kehakiman dan tindakan SPR berhubung urusan persempadanan semula itu tidak mengikat mana-mana pihak.
Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif yang mempengerusikan panel 3 hakim itu berkata, jika SPR memenuhi semua peraturan dan prinsip ditetapkan, mahkamah tidak boleh menceroboh hal berkaitan urusan persempadanan kawasan pilihan raya, jika tidak, mahkamah akan dilihat menceroboh fungsi badan lain yang diberi mandat oleh Perlembagaan.
Beliau berkata demikian selepas menolak 2 permohonan dikemukakan 2 ahli Parlimen DAP dari Perak dan 7 pengundi dari Melaka bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak menyebelahi mereka berhubung semakan kehakiman.
Dalam perkembangan lain, Zahid berkata, Putrajaya sedang berbincang dengan Thailand berhubung nasib 11 etnik Uighur Islam yang ditahan di negara ini, selepas melarikan diri dari penjara Thailand, tahun lalu.
“Kami akan mengambil tindakan yang tidak akan menyentuh perasaan mana-mana negara dan keputusan itu merupakan keputusan terbaik.
“Kita akan mengadakan perundingan lanjut yang menyentuh soal diplomasi dan keselamatan negara terlibat,” katanya sambil menambah Malaysia akan mengambil kira pandangan kumpulan hak asasi.
Pada 10 Februari lalu, Zahid meminta negara lain tidak perlu bimbang dengan permintaan rasmi China untuk mengekstradisi 11 etnik Uighur Islam itu.
Katanya, Malaysia sedang mempertimbangkan permintaan China itu, namun siasatan terperinci sedang dilakukan polis, jika ada dalam kalangan 11 individu itu terlibat dalam keganasan.
Reuters sebelum ini melaporkan Malaysia menahan 11 etnik Uighur dari China dan Beijing sedang berbincang dengan Malaysia berhubung pengusiran itu. Mereka antara 20 tahanan yang melarikan diri dari penjara Thailand, November lalu.
Laporan itu mendakwa Malaysia di bawah “tekanan hebat” untuk menyerahkan 11 individu itu kepada China, bukannya Thailand.
 
Copyright © 2014 PenangKini.