BREAKING NEWS

Wednesday, 21 February 2018

Sungai Kereh Tercemar dengan Sisa Ternakan Babi





TASEK GELUGOR - Kotor, meloyakan dan adakala berbau. Demikian keadaan Sungai Kereh di Permatang Berangan yang sebelum ini menjadi tumpuan kaki pancing.

Difahamkan, masalah itu berlaku kerana sungai ini turut mengalirkan sisa ternakan babi di Kampung Selamat.

Bukan sahaja air keruh, malah sungai ini turut dipenuhi sampah-sarap hingga mengganggu penduduk khususnya mereka yang tinggal berhampiran, terutama setiap kali selepas hujan.


Mohd Fadlan Ahmad, 67, berkata, keadaan Sungai Kereh tidak seteruk itu sebelum ini.
“Dulu sungai ni jadi tumpuan kaki pancing. Nak dapat ikan memang mudah, air sungai masa tu pun taklah seteruk sekarang.
“Sekarang, keadaan sungai ini boleh dikatakan makin teruk. Saya percaya masalah ni berpunca dari sisa najis babi sebab sungai ini mengalir dari kawasan ternakan babi tu, keadaannya memang sangat kotor,” katanya.
Menurutnya, pencemaran yang berlaku turut mengakibatkan kegatalan kulit.
“Kalau kena air sungai ni, jadi gatal-gatal. Mungkin sebab tak bersih. Lagi satu bau memang busuk, bukan baru-baru ni saja keadaan macam ni, dah masuk lima enam tahun,” katanya.



Aktivis masyarakat, Noor Hasni Saad berkata, masalah itu perlu ditangani pihak berkaitan dengan baik.
“Difahamkan, masalah ini sudah lama berlarutan. Sepatutnya perlu ambil langkah segera untuk mengatasinya.

“Sungai boleh jadi mata pencarian utama bagi nelayan sungai khususnya. Kalau sungai terus keruh dan kotor, macam mana nak tangkap ikan?” katanya.
Sementara itu, Adun Permatang Berangan, Datuk Omar Abdul Hamid berkata, keadaan sungai ini jauh berbeza berbanding dahulu.
"Difahamkan, masalah ni berpunca dari sisa ternakan babi yang disalirkan ke sungai ini. Saya sendiri sudah bawa kepada pihak berkenaan, tapi seperti yang kita dapat lihat, keadaan masih tak berubah,” katanya.
Susulan itu katanya, pihak mereka mengharapkan tindakan segera daripada mana-mana pihak bagi mengatasi masalah itu.

“Untuk makluman, saya sendiri dah terima aduan dari beberapa penduduk di sini yang hasil tanaman mereka terjejas akibat keadaan sungai yang kotor.

“Saya juga dah mengajukan masalah sungai ini kepada Jabatan Pengairan Saliran Pulau Pinang dua tahun lepas dan difahamkan telah dimaklum mereka,” katanya. SH







 
Copyright © 2014 PenangKini.