BREAKING NEWS

Thursday, 15 February 2018

#TerowongDasarLautPulauPinang Ramasamy disoal SPRM selama 6 jam

GEORGE TOWN: Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy hari ini disoal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama 6 jam berhubung projek terowong dasar laut dan jalan utama bernilai RM6.3 bilion.

Ramasamy hadir di ibu pejabat SPRM negeri pada 9.00 pagi hari ini untuk diambil keterangan. Selepas makan tengah hari selama 1 jam, soal siasat bersambung semula sehinggalah beliau keluar pada 4.00 petang.

Ramasamy memberitahu FMT seramai 4 orang pegawai merakam keterangannya.

Mereka bertanyakan pengetahuannya tentang projek itu, dan sama ada beliau mengenali mereka yang terlibat dalam projek itu, merujuk kepada 2 orang Datuk yang ditangkap oleh badan anti-rasuah itu baru-baru ini.

“Mereka sangat sopan. Mereka cuma menjalankan tugas.

“Secara asasnya, mereka mahu tahu sejauh mana saya mengenali 2 bos itu, dan sama ada saya sedar tentang sebarang sogokan berkaitan dengan projek itu.

“Mereka juga mencatatkan latar belakang pendidikan, kerjaya dan politik, dan kemudian melihat sama ada saya sedar tentang beberapa keputusan yang dibuat dalam majlis mesyuarat kerajaan negeri mengenai projek itu.

“Saya diminta mengesahkan beberapa minit mesyuarat yang saya hadiri.

“Saya juga ditanyakan tentang penglibatan saya dalam mesyuarat exco dari segi meluluskan projek,” kata Ramasamy kepada FMT.


Beliau ditemani peguamnya, Ajit Singh Jessy.

Ramasamy berkata walaupun pegawai SPRM sangat sopan dan baik, beliau tidak faham mengapa dirinya dipanggil untuk dirakam keterangan.

“Tidak banyak yang saya tahu tentang projek itu. Portfolio saya lain. Saya tidak tahu mengapa mereka tumpukan pada saya.

“Lebih masuk akal sekiranya mereka menyoal Lim Hock Seng, kerana beliau bertanggungjawab ke atas portfolio kerja raya.

“Mungkin kerana saya ada menulis tentang projek itu,” katanya.

Lim memberi keterangan kepada SPRM selama 12 jam berhubung projek itu.

SPRM telah mengambil keterangan 76 saksi bagi melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan.

Tangkapan terakhir membabitkan ketua eksekutif dan seorang jurutera sebuah syarikat perunding, yang didakwa terlibat dalam penyediaan dokumen tuntutan palsu dalam kajian kebolehlaksanaan projek itu.

Lima orang ditahan reman sebelum ini dan kemudian dibebaskan.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2km itu menghubungkan Persiaran Gurney di George Town ke Bagan Ajam di Butterworth. Pembinaan dijadualkan bermula 2023.

Kerajaan Pulau Pinang berkata terowong itu berkeutamaan rendah dan boleh dilaksanakan kemudian, selepas 3 jalan utama siap dibina.

Tiga laluan itu dari Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (5.7km), Tanjung Bungah ke Teluk Bahang (10.53km) dan simpang Jalan Pangkor-Persiaran Gurney ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (4.1km).


 
Copyright © 2014 PenangKini.