BREAKING NEWS

Monday, 12 February 2018

Tolak Pembangkang Yang Destruktif – Zahid


LABIS: Rakyat diminta menolak parti dan pemimpin pembangkang bersikap destruktif yang hanya tahu membinasa atau merosakkan apa jua kebaikan dilaksanakan kerajaan tanpa memikirkan kepentingan masyarakat terutama dalam aspek pembangunan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, biarpun negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi me­ngalu-alukan pembangkang, tetapi biarlah pembangkang yang bersikap konstruktif atau membina.

Katanya, jika pembangkang terlalu kuat, maka pembangu­nan tidak dapat diteruskan kerana semua usaha mereka adalah untuk membangkang.

“Tiada satu pun kebaikan disokong oleh mereka kerana tujuan pembangkang hanya membangkang, sebetulnya pem­bangkang yang baik adalah yang membangkang dengan konstruktif.

“Lain keadaannya di Malaysia, walaupun kebaikan dilakukan oleh Kerajaan Pusat atau negeri, tugas pembangkang adalah membangkang semua kebaikan, semua projek atau idea-idea baharu.

“Maka, saya fikir kita harus tolak pembangkang yang bersikap dan bersifat demikian,” katanya semasa melancarkan Projek Membina Semula Jalan Persekutuan Yong Peng-Segamat dari Kampung Desa Temu Jodoh hingga Kampung Kwong Sai di Taman Tenang Jaya, di sini hari ini.

Yang turut hadir isteri beliau, Datin Seri Hamidah Khamis; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan isteri, Datin Seri Rosni Omar; Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ne­geri, Datuk Ir. Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani turut hadir.

Justeru, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, rakyat harus bersatu hati supaya setiap kebaikan mesti dibalas dengan kebaikan dan segala keburukan harus ditolak.

Dalam pada itu, beliau turut meminta wakil rakyat terutama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor menggandakan usaha bagi memenangi hati dan minda rakyat kerana pemimpin Barisan Nasional (BN) bukan bermusim.

“Kita tak datang seperti keluang, tupai atau mahkluk lain yang hanya datang ketika ada musim buah kerana sama ada musim buah atau luar musim, wakil rakyat BN akan terus berkhidmat dengan baik kepada rakyat,” katanya.

Pada sidang akhbar selepas itu, Ahmad Zahid berkata, faktor calon tempatan penting untuk memenangi semua kerusi ditandingi tetapi BN tetap mengambil kira calon lain yang berpotensi untuk bertanding di sesuatu kawasan yang dirasakan sesuai.

Beliau berpuas hati dengan persiapan UMNO dan BN Johor untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Saya yakin dengan kepimpinan Mohamed Khaled sebagai Menteri Besar UMNO dan BN mampu memenangi dengan majoriti dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-14,” katanya.

- Utusan Online
 
Copyright © 2014 PenangKini.