BREAKING NEWS

Tuesday, 27 February 2018

TPM Mahu Semua Jentera Bekerja Keras Untuk Menang PRU14

FW678881_PH22_250218_TPM-scr.jpg

Semua jentera parti di peringkat akar umbi diminta bekerja keras untuk memenangkan calon Barisan Nasional yang terpilih untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) tanpa mengira parti komponen mana sekalipun.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dalam keadaan kritikal pada masa kini, perkara itu perlu menjadi pegangan anggota parti untuk memastikan BN terus memperoleh mandat untuk memerintah negara dengan mencapai kemenangan besar dalam PRU14 itu nanti.
"Di waktu kritikal ini, setiap pemimpin Jawatankuasa Kemajuan dan keselamatan Kampung khasnya juga perlu menjadi mata dan telinga kepada kerajaan negeri dan pusat selain memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat."
 
"Bukannya bertindak menambah minyak, menyemarakkan api kebencian sebaliknya biarlah kita menjadi orang yang membawa baldi atau timba yang penuh memadam api di dalam sekam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan Program Sijil Tadbir Urus Desa Infra UniKL Zon Timur di Bukit Gambang Resort, Pekan Semalam. 
Majlis turut dihadiri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam majlis itu, seramai 600 peserta menerima sijil program berkenaan yang diperkenalkan untuk Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), selain JKKK Persekutuan (JKKKP) serta JKKK Orang Asli bagi mempertingkatkan kewibawaan mereka dalam memimpin dan mengurus kampung.
Ahmad Zahid berkata dalam pusingan terakhir sebelum menghadapi PRU14, setiap pemimpin JKKK juga perlu memberikan khidmat yang terbaik selain menjaga tutur kata dan perlakuan untuk mengelakkan sebarang perkara yang boleh membangkitkan kebencian rakyat.
Ini adalah pusingan yang terakhir sepanjang lima tahun perjalanan politik dan dalam pusingan ini kita harus mempunyai nafas untuk terus sampai garisan penamat.
Apa maknanya menjadi mata dan telinga jika sekiranya mata semakin kabur dan telinga semakin kurang pendengaran, itu bermakna kita tidak sensitif dengan keadaan dan perkembangan di persekitaran, katanya.
Beliau berkata dalam PRU14 nanti BN perlu terus mengekalkan kemenangan kerana majoriti rakyat masih mengharapkan perkara tersebut.
 
Copyright © 2014 PenangKini.