BREAKING NEWS

Monday, 26 February 2018

UMNO Akan Menang Perang Siber Kali Ini


UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan kalah lagi dalam perang siber dengan pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Pengerusi Biro Teknologi Maklumat (IT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata selepas mengambil kira kesilapan pada PRU-13, pihaknya sudah menubuhkan Jawatankuasa Biro IT di 191 kawasan dalam usaha menangkis fitnah pembangkang di alam maya.
“BN dan UMNO tidak mahu kalah lagi dalam peperangan siber dan juga tidak mahu kalah dalam apa juga perkara yang disebarkan bagi menjatuhkan kerajaan di alam maya.
“Kita akan bekerja keras menepis segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan dengan memperbanyakkan aktiviti serta program yang memberi gambaran baik kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Taklimat dan Pertemuan Bersama Tiga Bahagian Jawatankuasa Biro IT di Wisma Transformasi UMNO Permatang Pauh, di sini, semalam.
Tiga jawatankuasa yang mendapat taklimat itu adalah dari Bahagian UMNO Permatang Pauh, Bagan dan Bukit Mertajam.
Ahmad berkata, setiap Bahagian UMNO akan mempunyai sekurang-kurangnya 40 ahli jawatankuasa yang dipertanggungjawabkan memantau kesemua media sosial.
“Selain menangkis fitnah, jawatankuasa biro IT akan mempromosi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dan UMNO yang menjalankan tanggungjawab terhadap rakyat di kawasan masing-masing.
“Kita berharap dengan apa yang dilakukan ini akan membuahkan hasil supaya dapat terus meraih kemenangan pada PRU-14,” katanya. TV14
 
Copyright © 2014 PenangKini.