BREAKING NEWS

Thursday, 1 February 2018

Vasanthapiriya, remaja dituduh curi iPhone, meninggal dunia



GEORGE TOWN: Pelajar sekolah menengah dari Pulau Pinang yang cuba membunuh diri selepas dituduh mencuri telefon bimbit gurunya meninggal dunia awal pagi tadi.

Presiden Tamilar Kular Malaysia, David Marshel Pakianathan memberitahu demikian selepas melawat jenazah M Vasanthapiriya di Hospital Seberang Jaya.

“Kita harap mendiang akan menerima keadilan,” kata David dalam video dimuat naik di Facebook.

“Kita harap perkara ini tidak akan berlaku pada mana-mana murid sekolah di Malaysia. Saya harap semua pelajar dan belia jangan mengambil keputusan untuk membunuh diri. Segala masalah kita boleh selesaikan, jika kita berkongsi masalah kita dengan pihak yang betul.

“Hari ini kita kehilangan disebabkan beberapa faktor, salah satunya sekolah tidak mengamalkan SOP yang sepatutnya,” tambah David, yang juga ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

David berkata, tekanan darah Vasanthapiriya mula lemah pada 7.30 malam tadi, dan ia bertambah buruk pada kira-kira 3.00 pagi, sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.

Vasanthapiriya ialah pelajar di SMK Methodist di Nibong Tebal. Menurut laporan polis oleh salah seorang anggota keluarga, dia dipanggil oleh 3 guru pada Rabu mingg lepas kerana mengesyaki mencuri telefon bimbit iPhone 6 milik salah seorang guru.

Remaja itu menafikan tuduhan guru wanita itu yang dia mencuri telefon bimbit iPhone 6 miliknya.

Menurut laporan polis itu, seorang lagi guru memukul belakang tubuhnya di hadapan pelajar-pelajar lain, sebelum dikurung dalam sebuah bilik di kuarter pejabat guru selama 5 jam, tanpa makanan atau dibenarkan ke tandas.

Pada 6.45 petang, suami guru yang hilang telefon bimbit itu tiba di sekolah dan mengancam membawa Vasanthapiriya ke polis kalau tidak mengaku mencuri, menurut laporan itu.

Mereka kemudian membawa Vasanthapiriya ke rumahnya yang terletak berdekatan untuk bertemu ibu bapanya. Remaja itu kemudian lari ke biliknya, sementara ibu bapanya dan penuduhnya keluar rumah untuk menyelesaikan perkara itu, menurut laporan itu.

Ketika itulah Vasanthapiriya cuba membunuh diri. Setibanya di rumah pada 8.20 malam, bapanya memecah pintu bilik apabila anaknya tidak menyahut.

Dia didapati tidak sedarkan diri tetapi masih hidup, tergantung pada seledang yang diikat pada paip pendingin hawa, dan kakinya tersentuh pada lantai.

Seorang kawan rapat Vasanthapiriya sebelum ini mendakwa penuduh mungkin mengesyaki Vasanthapiriya selepas melihat rakaman CCTV yang memaparkan seseorang berambut panjang sepertinya di pejabat guru.

Kawan itu berkata guru itu semakin sangsi apabila remaja itu pergi ke pejabat untuk meletakkan buku latihan di mejanya

“Dia kumpul buku latihan dari kami dan dia secara sukarela mahu meletakkannya di meja guru. Jadi, saya rasa sebab itu guru mengesyaki Vasanthapiriya. FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.