BREAKING NEWS

Thursday, 15 March 2018

10 Tahun Perintah Pulau Pinang - Antara Fakta & Auta DAP


CERAMAH ulang tahun ke-10 DAP memerintah negeri ini yang berlangsung di Padang Kota Lama Ahad lepas tidak lebih sekadar menjadi pentas untuk parti itu dan sekutunya menyampaikan dakyah mereka merupakan kerajaan negeri paling berjaya.

Mungkin kerana terlalu ghairah bercerita tentang buku laporan kejayaan memerintah, Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang tampil selaku penceramah terakhir terlepas pandang beberapa isi kandungan ceramahnya yang sebenarnya telah dipersoalkan rakyat negeri ini.

Berikut merupakan empat fakta ‘versi DAP’ yang disampaikan Guan Eng sedangkan hakikat sebenar berbeza.

1) Versi Guan Eng

– Kerajaan Persekutuan tidak beri wang kepada kerajaan negeri tetapi kerajaan negeri boleh buat jalan.

Fakta sebenar berhubung jalan

– Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan RM810 juta untuk projek Lebuhraya Bayan Lepas bagi projek penguraian trafik.

– Empat projek itu melibatkan jalan negeri termasuk Jalan Batu Maung ke Jalan Sultan Azlan Shah serta Jalan Batu Maung ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

– Selain itu, beliau menjelaskan projek berkenaan turut melibatkan Jalan Teluk Kumbar ke LTAPP dan tiga projek berkenaan menelan belanja sebanyak RM472.9 juta membabitkan laluan hampir 10 kilometer malah telah siap.

2) Versi Guan Eng

– Kerajaan negeri tidak ada pengalaman makan rasuah, setiap tahun mempunyai lebihan belanjawan untuk jalankan program rakyat

Fakta sebenar berhubung rasuah

– Ironinya, Guan Eng kini sedang berdepan dua pertuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

– Ahli Parlimen Bagan itu dituduh mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

3) Versi Guan Eng

– Kerajaan negeri buat banyak program larian dan kesihatan malah kita mempunyai lorong berbasikal yang paling cantik di negeri ini.

Fakta sebenar berhubung penjagaan kesihatan

– Menerusi Bajet 2018 Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM500 juta untuk pembinaan klinik pakar dan bangunan wad tambahan 300 katil di Hospital Pulau Pinang serta pembinaan dewan bedah baharu di Hospital Balik Pulau.

– Selain itu, Kerajaan Persekutuan juga telah membelanjakan hampir RM368 juta untuk membina blok baharu Hospital Seberang Jaya dan RM120 juta untuk pembelian alatan hospital berkenaan dan projek itu dijangka siap hujung tahun depan.

– Lorong berbasikal yang dibina Kerajaan DAP Pulau Pinang mencetuskan kontroversi kerana didakwa menelan perbelanjaan sangat besar iaitu RM30 juta malah perbandingan dibuat apabila lorong basikal sepanjang 12.5 km di Amerika Syarikat (AS) hanya menelan kos RM6 juta.

4) Versi Guan Eng

– Pelancong semakin ramai datang ke negeri ini kerana penerbangan dari serata dunia memilih Pulau Pinang kerana perancangan kerajaan negeri memajukan industri berkenaan.

Fakta sebenar berhubung pelancongan dan akses lapangan terbang

– Kerajaan Persekutuan dijangka akan memulakan kerja pembesaran LTAPP dengan Malaysia Airports Holding Berhad diarahkan membesarkan ruang dalaman dengan kos RM35 juta selain parkir kapal terbang ditambah kepada 31 lorong manakala kaunter pendaftaran ditambah kepada 96.

– Parkir kereta bertingkat juga dibina dengan kapasiti 1,000 kenderaan dan selepas siap, lapangan terbang berkenaan mampu menampung kapasiti 12 juta penumpang pada masa hadapan.

Kesimpulannya, penduduk Pulau Pinang bukan mudah untuk ditipu sehingga tidak boleh menilai antara fakta dan auta apatah lagi banyak janji Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak tertunai di negeri itu. – UTUSAN ONLINE





Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/10-tahun-perintah-p-pinang-antara-fakta-dan-auta-dap-1.627466#ixzz59mSX54T4
© Utusan Melayu (M) Bhd


 
Copyright © 2014 PenangKini.