BREAKING NEWS

Saturday, 3 March 2018

"Ada Pihak Jual Nama Saya"


SHAH ALAM: Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim mendakwa, beliau menjadi mangsa penjualan nama oleh pihak tidak bertanggungjawab semata-mata untuk menjatuhkan dirinya, lebih-lebih lagi PRU-14 semakin hampir.

Beliau berkata, sebagai ahli parlimen dan juga Ahli Majlis Tertinggi Umno serta Pengerusi Tabung Haji, itulah satu cara untuk pihak tidak bertanggungjawab membuat serangan, yang bukan setakat secara peribadi, malah institusi.

“Ada pihak sengaja burukkan nama saya dengan mengaitkan mempunyai hubungan berkaitan kerja rundingan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

“Saya pemimpin taat setia kepada Umno, tidak mungkin saya berurusan dengan syarikat DAP,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (PD) Shah Alam, Jumaat.
Beliau diiringi keluar sekumpulan penyokongnya dari balai polis selepas sejam membuat laporan.

Abdul Azeez berkata, ia adalah serangan terlalu dahsyat terhadap dirinya sehingga terpaksa mengambil tindakan membuat laporan polis.

“Ada beberapa kali saya diserang, dan inilah kali pertama dalam sejarah politik, saya buat laporan polis.
“Sebab ini yang terlalu dahsyat penularannya sehingga pergi ke Baling, dan pelbagai penularan mereka mengatakan saya mengambil rasuah RM3 juta dari Zenith iaitu syarikat DAP dan ini tidak masuk akal,” katanya.

Tegasnya, beliau tidak pernah ada apa-apa urusan dengan syarikat Zenith, mahupun Datuk Zarul. Abdul Azeez juga menyatakan kesediaan memberi kerjasama dengan mana-mana pihak untuk membantu siasatan.

“Dalam surat yang telah dihantarkan kepada saya juga dia tidak mengaitkan nama saya secara terus, hanya disebutkan ada seseorang telah datang berjumpa dan memaklumkan nama saya dan mengambil wang,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Pengerusi Tabung Haji itu menerima bayaran RM3 juta dari Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd untuk kerja rundingan berkaitan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Sementara itu, peguam Abdul Azeez, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, pihaknya memberi tempoh masa empat hari kepada pihak terbabit untuk menarik balik tuduhan tersebut bersama permohonan maaf.

“Kami perlukan mereka buat satu permohonan maaf, jika tidak kita akan teruskan dengan tindakan guaman,” katanya.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd, yang terdiri daripada beberapa syarikat.
Zenith adalah syarikat yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM) sejak awal tahun ini, berhubung penglibatannya dengan projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya bernilai RM6.3 bilion.

SPRM setakat ini telah menyoal 70 individu dan menahan empat, termasuk dua pegawai eksekutif berpangkat Datuk bagi membantu siasatan. - Sinar Online

 
Copyright © 2014 PenangKini.