BREAKING NEWS

Sunday, 25 March 2018

Bicara kes rasuah Guan Eng bermula esok

GEORGE TOWN: Perbicaraan kes rasuah membabitkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, selama 23 hari di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bermula esok, dijangka menjadi tumpuan pelbagai pihak.

Perbicaraan itu membabitkan pertuduhan terhadap Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon, berhubung pembelian banglonya yang didakwa di bawah harga pasaran dan penukaran sebidang tanah.

Perbicaraan dijangka mengambil masa 23 hari mulai esok hingga akhir Mei. Tarikh perbicaraan yang ditetapkan adalah 26 Mac hingga 25 Mei.

Seramai 40 saksi akan dipanggil pihak pendakwaan, dengan sekurang-kurangnya lima saksi dipanggil dalam satu hari.

Sementara itu, semua jalan ke bangunan mahkamah akan dibuka seperti biasa esok.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata polis hanya akan membuat kawalan keselamatan di dalam mahkamah.

"Tiada sebarang penutupan jalan dilakukan sepanjang kes berlangsung, namun kita akan melakukan kawalan keselamatan di dalam mahkamah," katanya.

Pada 30 Jun 2016, Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan rasuah.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam, untuk mendapatkan kepentingan kepada diri sendiri dan isterinya dengan meluluskan permohonan oleh Magnificent Emblem Sdn Bhd bagi menukar tanah pertanian menjadi tanah kediaman.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23, Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menggunakan kedudukannya untuk membeli rumah di Jalan Pinhorn daripada Phang dengan harga RM2.8 juta, yang berada di bawah nilai pasaran hartanah berjumlah RM4.27 juta.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun, denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Li Koon pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibacakan bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng berhubung pembelian banglo itu.

Guan Eng Lim diwakili peguam bela, Gobind Singh Deo, manakala Phang diwakili oleh peguam bela, Datuk S Sithambaram.

Perbicaraan itu pada mulanya ditetapkan untuk dijalankan pada 27 Mac, tahun lalu.

Bagaimanapun ia gagal dilaksanakan selepas peguam bela mencabar kesahihan Seksyen 62, Akta SPRM.

Pada 14 Disember tahun lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan Guan Eng diwajibkan untuk menyerahkan kenyataan bela diri sebelum perbicaraan dijalankan berhubung pembelian sebidang tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Panel lima orang hakim diketuai Ketua Hakim Md Raus Sharif, membatalkan satu keputusan Mahkamah Rayuan pada bulan Ogos yang menyebut, Seksyen 62, Akta SPRM tidak mengikut perlembagaan.

Guan Eng dalam sidang akhbar pada 11 Januari lalu, membayangkan yang perbicaraan rasuah terhadapnya akan mempengaruhi pencalonannya dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14). BH
 
Copyright © 2014 PenangKini.