BREAKING NEWS

Thursday, 1 March 2018

Bukan Azeez Rahim diburu SPRM tetapi individu lain




1 MAC: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim bukan individu yang dikehendaki kerana didakwa menerima bayaran berbentuk sogokan daripada firma Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd sebanyak RM3 juta.
Sebaliknya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata pihaknya sedang menyiasat seorang lagi individu yang terlibat selain daripada individu bergelar Datuk Seri yang dikatakan menerima RM19 juta daripada firma tersebut.
“Bukan Azeez. Orang yang kita cari bukan dia.
“Kita dah tahan seorang yang semua orang sudah tahu, dan kita sedang mengesan seorang lagi lelaki yang terlibat dalam menerima rasuah,” katanya di Putrajaya, Khamis.
Azeez sebelum ini mengesahkan bahawa beliau sudah menerima surat tuntutan melalui pos berdaftar daripada firma terbabit tetapi menafikan terbabit dalam projek berkenaan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai surat tuntutan Zenith yang dihantar pada 24 Februari lalu, di mana ahli politik itu dilaporkan menerima bayaran RM3 juta untuk kerja rundingan berkaitan dengan projek terowong.
Turut dilaporkan Zenith didakwa telah membayar RM19 juta kepada seorang ahli perniagaan untuk kerja rundingan.
Susulan daripada itu, firma tersebut merancang untuk menyaman kedua-dua mereka kerana mendakwa mereka gagal melaksanakan tugas masing-masing.
Mengulas lanjut, Azam berkata pihaknya telah memulakan siasatan tentang perkara tersebut, namun ia terpulang kepada maklumat yang diterima sama ada perlu atau tidak memanggil Azeez untuk memberi keterangan.
Sementara itu, Azeez memaklumkan kepada BNBBC.my portal akan membuat satu laporan polis esok (Jumaat) di IPK Selangor, Shah Alam 9 pagi.
Kemudian beliau akan membuat satu sidang media selepas laporan tersebut dibuat. BNBBC
 
Copyright © 2014 PenangKini.